Hukum guna AI dalam bacaan al-Quran, azan

Hukum guna AI dalam bacaan al-Quran, azan


BUKAN sekadar menaip mahupun mengedit video, teknologi kecerdasan buatan (AI) kini sudah mampu meniru suara manusia.

Malah, ada yang menggunakannya untuk membaca al-Quran atau melaungkan azan di dalam masjid.

Persoalannya, bolehkah suara ciptaan AI itu digunakan dalam hal berkaitan ibadah seperti itu?

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, penggunaan AI bagi memperdengarkan bacaan al-Quran hukumnya harus selagi mana ia digunakan untuk tujuan yang baik dan tidak melalaikan.

USTAZ AZHAR IDRUS

“Sekarang ada teknologi AI, macam-macam boleh buat. Boleh tak kita gunakan teknologi AI ini untuk buat orang membaca al-Quran? Jawabnya boleh kerana teknologi ini hendaklah digunakan untuk perkara kebaikan.

“(Ia) macam kita gunakan untuk mengedit video dan sebagainya untuk memperdengarkan (bacaan) ayat al-Quran kepada orang. Kemudian (latar) belakang itu ada (visual) air terjun supaya orang gemar melihat, hukumnya harus.

“Yang haramnya bila kita guna benda yang karut, benda maksiat, aurat perempuan dan sebagainya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di YouTube miliknya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ustaz Azhar turut mengumpamakan AI sebagai satu alat yang boleh digunakan ke arah kebaikan atau keburukan.

Katanya, ia sama seperti pisau yang boleh digunakan untuk memasak, tetapi juga boleh membawa mudarat jika disalah guna.

PENGGUNAAN AI bagi memperdengarkan bacaan al-Quran hukumnya harus selagi mana ia digunakan untuk tujuan yang baik dan tidak melalaikan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

PENGGUNAAN AI bagi memperdengarkan bacaan al-Quran hukumnya harus selagi mana ia digunakan untuk tujuan yang baik dan tidak melalaikan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Seorang ulama terkenal, Syeikh Abdul Qadir Al-Mandili yang juga pengarang kitab Penawar Bagi Hati pernah ditanyakan apa hukum menjual pisau kepada orang? Ini kerana pisau itu boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan.

“Beliau menjawab harus. Yang berdosa tukang beli pisau itu jika dia gunakan untuk menikam atau menoreh orang lain. Namun, andai seseorang menggunakannya untuk memotong sayur atau buah, dia tidak berdosa. Bukan salah orang tukang jual pisau itu,” tegasnya.

Namun begitu, agamawan itu menegaskan bahawa penggunaan AI untuk menggantikan muazin dalam melaungkan azan di masjid adalah tidak dibenarkan.

Ini kerana azan di dalam rumah ALLAH itu mesti dilaksanakan oleh manusia yang hidup, ungkapnya.

“Dalam (penggunaan teknologi) AI ini, kalau (tujuannya) nak buat orang baca al-Quran, itu dibolehkan, tetapi jika digunakan untuk melaungkan azan di masjid, ia tak boleh kerana azan mesti (dilaungkan oleh) muazin, individu yang hidup.

“Suara ini hanyalah rakaman semata-mata, sedangkan yang mendapat pahala ialah orang yang melaungkan azan tersebut,” katanya.

Ustaz Azhar turut menyebut pandangan ulama Al-Azhar yang menegaskan perkara sama.

PENGGUNAAN AI untuk menggantikan muazin dalam melaungkan azan di masjid adalah tidak dibenarkan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

PENGGUNAAN AI untuk menggantikan muazin dalam melaungkan azan di masjid adalah tidak dibenarkan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Orang pernah tanya kepada Syeikh Atiyyah Saqar, bekas Pengerusi Lajnah Fatwa Al-Azhar tentang hukum merekodkan bacaan al-Quran dan diperdengarkan kepada orang termasuk suara azan.

“Beliau berkata, semua dapat pahala, tetapi tak boleh digunakan azan itu untuk menggantikan muazin dalam tugas harian,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, perintah Rasulullah SAW berhubung azan jelas menunjukkan bahawa tugas itu mesti dilakukan oleh manusia.

“Sampai masa bertugas, mesti orang (perlu laungkan) azan. Sebab apa? Kerana semua hadis Nabi ketika Baginda tidak bermusafir atau ketika bermusafir menunjukkan bahawa apabila masuk waktu, Nabi menyuruh muazin laungkan azan.

“Nampak bahawa perintah itu ditujukan kepada manusia,” jelasnya.



Source link

OR

Scroll to Top