NEGARA Malaysia sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, sekali gus ada pelbagai kepercayaan dalam beragama. Antara agama yang dianuti segelintir warga Malaysia ialah Kristian dengan Krismas sebagai antara perayaan disambut mereka.
Perayaan Krismas atau Hari Natal adalah upacara yang disambut penganut Kristian untuk memperingati hari kelahiran Isa al-Masih yang mereka sebut sebagai Tuhan Jesus (Jesus Christ) pada 25 Disember setiap tahun. Aktiviti dalam perayaan ini adalah sembahyang di gereja, mendengar bacaan Bible yang menyentuh khusus kelahiran Jesus menurut kepercayaan mereka, diikuti dengan jamuan mass, bertukar-tukar ucap selamat dan pemberian hadiah sesama hadirin di gereja.
Berdasarkan latar belakang ringkas peraya, maka sambutan perayaan Krismas ini bersifat keagamaan semata-mata dan tiada kaitan dengan adat mahupun budaya. Oleh kerana itu, umat Islam ditegah daripada menyertai upacara perayaan ini kerana wujud unsur keserupaan terhadap akidah agama lain. Apabila dilihat daripada al-Quran, terdapat larangan berkaitan perkara ini iaitu pada Surah al-Furqan ayat 72 yang bermaksud: “Dan mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang tidak menghadiri tempat melakukan perkara dilarang serta apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.”
Jika ditinjau beberapa pendapat fuqaha silam berkaitan permasalahan ini, rata-rata mereka menegah umat Islam daripada terlibat bersama-sama dalam upacara keagamaan tersebut secara langsung mahupun tidak. Antaranya pandangan Imam Suyuti yang melarang menyerupai golongan bukan Islam pada hari perayaan mereka. Bagi beliau, tasyabbuh dengan orang kafir itu haram walaupun tidak bermaksud untuk melakukannya. Hal ini senada dengan hadis daripada Rasulullah SAW, diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Barangsiapa bertasyabuh dengan suatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”
Dalam konteks kemasyarakatan di Malaysia yang berbilang kaum dan agama, menjadi satu permasalahan adalah apakah hukum mengucapkan Merry Christmas kepada jiran,rakan atau warga masyarakat.
Menjawab permasalahan ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 mengeluarkan ketetapan iaitu: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat telekomunikasi kepada orang bukan Islam sempena perayaan agama mereka adalah harus dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan.”
Pandangan hukum yang telah diberikan secara kolektif oleh jawatankuasa ini boleh dijadikan panduan apabila ada keperluan untuk mengucapkan ‘selamat’ kepada kenalan yang menyambut perayaan berkenaan dan ia terbatas kepada penyampaian ‘tahniah’ dan bukan memuliakan agama itu apatah lagi jika kita bersama merayakannya.
Secara kesimpulannya, perbuatan menyertai upacara Krismas adalah dilarang kerana ia perayaan keagamaan, seterusnya aktiviti dalam perayaan ini akan menyangkut kepada perbuatan keagamaan dan seterusnya terkait dengan akidah. Namun begitu, jika terdapat keperluan untuk mengucapkan selamat kepada yang merayakan seperti rakan taulan, jiran dan sebagainya, ia dibenarkan tertakluk kepada garis panduan ditetapkan secara kolektif oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa
© New Straits Times Press (M) Bhd