Hukum memanjangkan bacaan al-Quran ketika tarawih

Hukum memanjangkan bacaan al-Quran ketika tarawih


– Advertisement –

Soalan

– Advertisement –

Assalamualaikum Dato’ Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan berkenaan solat Tarawih. Adakah seorang imam boleh memanjangkan bacaan al-Quran ketika solat Tarawih? Terdapat sesetengah pengurusan masjid menetapkan agar imam bertugas mengkhatam al-Quran ketika solat Tarawih sepanjang bulan Ramadan. Adakah perbuatan ini diharuskan?

Sekian, terima kasih Dato’.

Ringkasan Jawapan

Hukum memanjangkan bacaan ayat-ayat al-Quran ketika solat Tarawih dengan tujuan mengkhatamkannya pada akhir Ramadan merupakan suatu sunnah dan sangat digalakkan. Amalan memanjangkan bacaan dalam solat Tarawih merupakan amalan yang sabit dilakukan pada zaman salaf. Ia merupakan salah satu cara supaya orang ramai atau ahli keluarga dapat mengambil manfaat dan ganjaran dengan mendengar keseluruhan bacaan al-Quran. Namun, perlu diambil kira juga keadaan makmum yang mengikuti imam ketika solat Tarawih. Oleh itu, menjadi kewajipan seorang imam itu meraikan semua peringkat dan keadaan manusia. Begitu juga, para makmum boleh memilih mana-mana masjid atau surau yang menjalankan solat Tarawih mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka. Semoga kita bersemangat sama-sama menunaikan solat Tarawih secara berjemaah sehingga selesai bersama imam.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Memanjangkan Bacaan al-Quran Dalam Solat Tarawih

Dalam mengulas perkara ini, terdapat banyak pendapat para para ulama yang menggalakkan perbuatan mengkhatamkan al-Quran ketika solat Terawih. Perkara ini memerlukan para imam memanjangkan bacaan al-Quran ketika menunaikannya. Antara ulama yang menggalakkan termasuklah Syeikh Ahmad al-Barlisi ada menukilkan daripada Imam al-Isnawi bahawa :

التَّرَاوِيحُ سُنَّةٌ بِالْإِجْمَاعِ، وَأَفْتَى ابْنُ الصَّلَاحِ وَابْنُ عَبْدِ السَّلَامِ بِأَنَّ خَتْمَ الْقُرْآنِ فِي مَجْمُوعِهَا أَفْضَلُ مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْإِخْلَاصِ ثَلَاثًا فِي كُلِّ رَكْعَةٍ

Maksudnya: “Solat Tarawih adalah sunat secara Ijma’ para ulama. Dan Ibn al-Solah dan Ibn Abd al-Salam menfatwakan bahawa mengkhatamkan al-Quran dalam keseluruhan solat Tarawih adalah lebih afdal daripada hanya membaca surah al-Ikhlas tiga kali di dalam setiap rakaat.”[1]

Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut bahawa membaca sebahagian ayat (daripada surah yang panjang) adalah lebih baik dalam solat Tarawih sekiranya mahu mengkhatamkan al-Quran, sekiranya tidak, maka membaca surah yang sempurna (lengkap) adalah lebih baik sebagaimana yang telah difatwakan oleh Ibn al-Solah[2]. Sheikh Abd al-Hamid al-Syarwani mengulas kenyataan ini dalam kitabnya (Hasyiah) dengan menyatakan bahawa :

يُؤْخَذُ مِنْ ذَلِكَ أَنَّ مَحَلَّ كَوْنِ الْبَعْضِ أَفْضَلَ إذَا أَرَادَ الصَّلَاةَ بِجَمِيعِ الْقُرْآنِ فِي التَّرَاوِيحِ فَإِنْ لَمْ يُرِدْ ذَلِكَ فَالسُّورَةُ أَفْضَلُ

Maksudnya : “Diambil (difahami) daripada perkara itu bahawa membaca sebahagian (surah panjang) adalah lebih baik sekiranya mahu mengkhatamkan al-Quran dalam solat tarawih dan sekiranya tidak mahu demikian, maka membaca surah (secara sempurna) adalah lebih baik.”[3]

Selain daripada pandangan mazhab Syafi’i, terdapat juga galakan mengkhatamkan al-Quran dalam solat tarawih daripada pandangan mazhab-mazhab yang lain, antaranya mazhab Hanafi yang dinyatakan oleh Imam al-Zailai’i al-Hanafi, kata beliau:

ولم يذكر قدر القراءة فيها ، وأكثر المشايخ رضي الله عنهم على أن السنة فيها الختم مرة ، فلا يترك لكسل القوم

Maksudnya: Tidak dinyatakan kadar bacaan al-Quran dalamnya (Tarawih), sebahagian besar ulama berpendapat bahawa sunat mengkhatamkan al-Quran sekali ketika Tarawih, maka amalan ini tidak ditinggalkan atas kemalasan manusia.[4]

Begitu juga, Syeikh Muhammad al-Dasuki al-Maliki menyatakan sunat mengkhatamkan al-Quran dalam solat Tarawih dalam kitabnya:

‌ندب ‌للإمام (‌الختم) ‌لجميع ‌القرآن (‌فيها) ‌أي ‌في ‌التراويح ‌في ‌الشهر ‌كله ‌ليسمعهم ‌جميعه

Maksudnya: Sunat bagi imam mengkhatamkan keseluruhan bacaan al-Quran dalam solat Tarawih pada sepanjang bulan (Ramadan) bagi memperdengarkannya kepada semua.[5]

Selain itu, amalan solat malam dalam tempoh waktu yang panjang juga dilakukankan oleh Nabi SAW bersama para sahabat lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan sebagaimana terdapat hadis Nabi SAW yang menceritakan tentang para sahabat bangun malam bersama Nabi SAW sehingga menghampiri waktu sahur, sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar RA:

صمنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم رمضان، فلم يقم بنا من الشهر شيئا حتى بقي سبع، فقام بنا حتى ذهب نحو من ثلث الليل، ثم لم يقم بنا الليلة الرابعة، وقام بنا الليلة التي تليها حتى ذهب نحو من شطر الليل، قال: فقلنا: يا رسول الله، لو نفلتنا بقية ليلتنا هذه قال: “إن الرجل إذا قام مع الإمام حتى ينصرف حسب له بقية ليلته ” ثم لم يقم بنا السادسة، وقام بنا السابعة، قال: وبعث إلى أهله واجتمع الناس، فقام بنا حتى خشينا أن يفوتنا الفلاح قال: قلت: وما الفلاح؟ قال: السحور

Maksudnya: “Kami puasa Ramadan bersama Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak bangun (solat malam) bersama kami sehingga berbaki tujuh hari dari bulan Ramadan, lalu beliau bangun bersama kami hingga sepertiga malam. Kemudian pada malam keenam akhir Ramadan, beliau tidak bangun (solat malam). Setelah malam kelima beliau bangun (solat malam) bersama kami hingga hampir lewat separuh malam. Lalu kami berkata kepada Baginda, ‘Wahai Rasulullah SAW, bagaimana jika engkau ikut solat sunat bersama kami pada malam ini? ‘ Baginda menjawab, “Jika seseorang solat bersama imam sehingga selesai, bererti dia telah mendirikan solat malam.” Baginda   besabda lagi, “Pada malam keempat (menjelang berakhirnya Ramadan) baginda tidak bangun (solat malam) bersama kami. Setelah tinggal sepertiga dari bulan (Ramadan) baginda mengutus seseorang kepada anak-anak perempuannya dan para isterinya, serta mengumpulkan orang-orang, lalu baginda solat bersama kami hingga kami khawatir kehilangan waktu falah. Baginda tidak melakukan itu lagi pada bulan Ramadan.” Daud berkata; aku bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan falah? Al Walid menjawab; iaitu waktu sahur. (Riwayat al-Nasaie)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa hukum memanjangkan bacaan ayat-ayat al-Quran ketika solat Tarawih dengan tujuan mengkhatamkannya pada akhir Ramadan merupakan suatu sunnah dan sangat digalakkan. Amalan memanjangkan bacaan dalam solat Tarawih merupakan amalan yang sabit dilakukan pada zaman salaf. Ia merupakan salah satu cara supaya orang ramai atau ahli keluarga dapat mengambil manfaat dan ganjaran dengan mendengar keseluruhan bacaan al-Quran.

Namun, perlu diambil kira juga keadaan makmum yang mengikuti imam ketika solat Tarawih. Oleh itu, menjadi kewajipan seorang imam itu meraikan semua peringkat dan keadaan manusia. Begitu juga, para makmum boleh memilih mana-mana masjid atau surau yang menjalankan solat Tarawih mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka.

Semoga kita bersemangat sama-sama menunaikan solat Tarawih secara berjemaah sehingga selesai bersama imam. Mudah-mudahan mendapat ganjaran sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya :

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya : “Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai, dituliskan ganjaran untuknya qiyam (beribadah) sepanjang malam.” [Riwayat Ibn Majah (1327)]

Semoga Allah SWT menerima segala amalan yang kita laksanakan sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini. Amiin.

Wallahu a’lam 

Rujukan:

[1] Al-Qolyubi, Ahmad Salamah, Al-Umairah, Ahmad al-Barlisi, Hasyiata al-Qolyubi wa Umairah (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), jld 1: hlmn 248.

[2] Al-Haitami, Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj (t.tp: t.p, 1983), jld 2: hlmn 52

الْبَعْضُ فِي التَّرَاوِيحِ أَفْضَلُ كَمَا أَفْتَى بِهِ ابْنُ الصَّلَاحِ

[3] Al-Haitami, Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj (t.tp: t.p, 1983), jld 2: hlmn 52

[4] Al-Zaila‘ie, Jamaluddin Abdullah bin Yusuf, Nasab al-Rayah fi Takhrij Ahadis al-Hidayah (Kaherah: Dar al-Hadis, 1995), jld 2: hlmn 172

[5] Al-Dasuki, Muhammad bin Ahmad bin Urfah, Hasyiah al-Dasuki ala Syarh al-Kabir (t.tp: t.p, t.t), Jld 1: Hlmn 315 – HARAKAHDAILY 19/3/2025

(Artikel ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Hukum Edisi Khas Ramadan yang diterbitkan pada 19 Mac 2025.)

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!



Source link

OR

Scroll to Top