SUDAH menjadi kebiasaan dalam kalangan segelintir umat Islam untuk mencium al-Quran setiap kali sebelum atau sesudah membaca kalam ALLAH itu.
Bukan hanya orang dewasa, kanak-kanak juga terbiasa melakukannya kerana meniru perbuatan orang di sekeliling mereka yang kerap menghormati kitab suci tersebut.
Situasi itu bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat. Namun begitu, timbul pula dakwaan mengatakan bahawa perbuatan mencium al-Quran boleh merosakkan akidah. Benarkah begitu?
Pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, jumhur ulama menyatakan bahawa harus mencium al-Quran ketika mengambil atau usai menggunakannya.
USTAZ AZHAR IDRUS
Malah, katanya, sebahagian ulama Mazhab Syafie dan Hanbali pula mengatakan bahawa perbuatan itu adalah disunatkan.
“Menurut Imam As-Suyuthi dalam kitab Al-Itqan, mencium mashaf disunatkan kerana sahabat yang bernama Ikrimah bin Abi Jahal RA turut melakukannya.
“Sementara itu, menerusi Fatwa Majlis Agama Palestin menjelaskan, harus mencium mashaf sebagaimana dinyatakan oleh ulama Mazhab Hanafi dan Hanbali. Bahkan, diriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa ia sunat dilakukan. Saidina Umar RA juga akan mencium al-Quran setiap kali mengambil mashaf pada waktu pagi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.
Tambah Ustaz Azhar lagi, Saidina Uthman RA turut mencium mashaf dan menyapu al-Quran pada wajahnya sebagai tanda memuliakan kitab suci tersebut.
“Dalam kitab At-Tibyan fi Adabi Hamalatil Quran, Imam An-Nawawi menyebut, Ikrimah bin Abi Jahal RA akan meletakkan mashaf pada mukanya sambil berkata ‘Kitab Tuhanku, kitab Tuhanku’. Demikian fakta yang dikemukakan oleh Majlis Fatwa Palestin,” jelas beliau.
Berdasarkan perbahasan para ulama itu, ujar Ustaz Azhar, dapat difahami bahawa perbuatan mencium al-Quran adalah diharuskan bagi sesetengah ulama dan disunatkan menurut pandangan yang lain.

UMAT Islam dibolehkan mencium al-Quran sebagai tanda kecintaan dan perhormatan terhadap kemuliaan kalamullah itu. -Foto: CANVA
Menjawab dakwaan kononnya mencium al-Quran boleh menjejaskan akidah, agamawan itu menegaskan, tuduhan sedemikian tidak berasas sama sekali.
“(Dakwaan itu) adalah dusta kerana ulama tidak berkata demikian. Ketahuilah bahawa menuduh sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW sebagai rosak akidah merupakan fitnah yang sangat keji.
“Hakikatnya, tidak rosak akidah (seseorang) sebab mencium al-Quran, tetapi ia boleh menjadi sebaliknya sebab (perasaan) sakit hati apabila melihat kitab suci itu dicium,” katanya.
Bagi memperkukuhkan penjelasan itu, Sinar Islam Plus turut merujuk artikel Irsyad Al-hadith Siri ke-289: Mencium Al-Quran yang pernah disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Pejabat mufti itu menjelaskan, umat Islam dibolehkan mencium al-Quran sebagai tanda kecintaan dan perhormatan terhadap kemuliaan kalamullah itu.
“Meskipun riwayat tentang Ikrimah adalah daif disebabkan sanadnya terputus, tetapi al-Quran merupakan kalam ALLAH yang agung dan wajib ke atas kita untuk memuliakannya.
“Bahkan, perbuatan (mencium al-Quran) itu tidak menjadi satu kesalahan jika ia dilakukan seseorang dengan tujuan untuk meninggikan kitab suci itu serta menzahirkan kecintaannya terhadap al-Quran,” katanya.