Selepas 21 hari berada di Penjara Kajang, pendakwah selebriti Da’i Syed dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini.
Memetik laporan Kosmo Online, Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azmi Ariffin, yang sebulat suara membenarkan permohonan Da’i Syed untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan.
Menurut Hakim Azmi, mahkamah mendapati wujud keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon, Da’i Syed atau nama lengkapnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, dilepaskan dengan jaminan berjumlah RM40,000 sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan.
“Setelah mendengar penghujahan kedua-dua pihak dan meneliti penghujahan bertulis, kami mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon dilepaskan atas jaminan sehingga rayuan diputuskan,” katanya.
Selain pasport diperintahkan diserahkan kepada mahkamah, Da’i Syed perlu melaporkan diri di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam antara 1 hingga 5 haribulan setiap bulan bermula Mac 2026.
Sebaik prosiding tamat, isterinya, Hana Ismail, 40, yang hadir di mahkamah dilihat memeluk suaminya.
Pada 23 Januari lalu, Da’i Syed diperintah menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu, selain tidak membenarkan penangguhan hukuman.
Sumber/Kredit foto: Kosmo Online




