Hukuman FIFA tak jejas misi benam Laos

Hukuman FIFA tak jejas misi benam Laos


PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan skuad kendaliannya tidak mahu terperangkap dengan isu luar padang susulan hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan negara serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Cklamovski berkata, tumpuan penuh pasukan kini hanya tertumpu kepada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di New Laos National Stadium pada malam ini.

“Ya, perkara ini berada di luar kawalan kami. Kami tidak menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku di luar kem latihan.

“Saya faham banyak isu sedang diperkatakan, namun ia tidak berkaitan dengan pasukan dan tidak akan menjejaskan persiapan kami,” jelasnya dalam sidang media praperlawanan di Vientiane pada Rabu.

Menurut jurulatih dari Australia itu, semua pemain berada dalam kondisi terbaik dengan mentaliti tinggi untuk menghadapi Laos.

“Kami hanya mahu memastikan persiapan berjalan lancar dan menumpukan sepenuh tenaga terhadap aksi esok (malam ini).

“Jika kami memikirkan hal lain selain prestasi di atas padang, itu tidak adil terhadap permainan.

“Mentaliti kami jelas iaitu bekerja keras antara satu sama lain, bermain dengan identiti tersendiri dan terus membina asas bola sepak yang mampu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC 2025) selepas menyerahkan dokumen palsu bagi membuktikan asal-usul pemain sebagai rakyat Malaysia.

Mereka ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

FAM kini berada dalam proses mengemukakan rayuan rasmi selepas menerima dokumen penuh penghakiman daripada FIFA pada Selasa.

Dalam masa sama, Cklamovski menegaskan skuad Harimau Malaya kini sepenuhnya menumpukan usaha untuk membawa pulang tiga mata penting bagi memperkukuh kedudukan dalam kumpulan.

“Kami menghormati Laos sebagai lawan yang sukar. Apa pun, kami mahu mengekalkan rekod bersih tanpa bolos, mencipta peluang dan menjaringkan gol.

“Fokus kami adalah memberi tekanan sejak awal dan memastikan kemenangan dibawa pulang,” tegasnya.

 

Ringkasan AI

  • Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menyatakan tumpuan penuh pasukan hanya kepada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos
  • Pasukan tidak terganggu dengan isu hukuman FIFA terhadap tujuh pemain warisan negara dan FAM
  • Cklamovski mengakui semua pemain dalam kondisi terbaik dan bermentaliti tinggi untuk menghadapi Laos
  • Tujuan utama ialah persiapan lancar untuk memenangi perlawanan menentang Laos, tidak teralih dengan isu lain
  • FAM dan tujuh pemain warisan didapati bersalah melanggar Kod Tatatertib FIFA, sedang dalam proses rayuan



Source link

OR

Scroll to Top