Hukuman, kehilangan jurulatih bunuh semangat PDRM

Hukuman, kehilangan jurulatih bunuh semangat PDRM


Pemain Selangor FC, Ali Iyad Ali Olwan menjaringkan gol pada Piala Cabaran Final 2 di antara PDRM FC menentang Selangor FC. Foto Bernama

PDRM FC ternyata tidak berada pada tahap terbaik ketika gagal bangkit yang menyaksikan mereka tewas di tangan Selangor FC dalam aksi perlawanan akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Penolong jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil berkata, isu pasukan dijatuhkan hukuman secara mengejut selepas perlawanan separuh akhir pertama dan kehilangan ketua jurulatih, P Maniam yang direhatkan sedikit sebanyak membunuh sisa perjuangan Sang Saka Biru.

“Perkara berlaku pantas dalam satu masa, kita kehilangan jurulatih dan kita dihukum. Saya akui ia memberikan kesan kepada pasukan.

“Ia sesuatu yang mengejutkan dan saya ada dua hari untuk menyiapkan pasukan (apabila perlu mengambil alih tugas daripada P Maniam). Apa yang kita dah rancang dengan ketua jurulatih, saya teruskan kerana saya tidak ada masa cukup untuk ubah taktikal,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan akhir pertama, PDRM tewas tipis 2-3 kepada Selangor yang menyaksikan mereka mempunyai peluang untuk bangkit pada aksi akhir kedua tersebut.

Namun, mereka dijatuhkan hukuman selepas menurunkan pemain yang tidak boleh beraksi akibat digantung perlawanan sekali gus menyaksikan Selangor diberikan kemenangan 3-0.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, pasukan juga terpaksa melupakan khidmat Maniam apabila difahamkan beliau direhatkan selepas insiden tersebut.

Dalam perlawanan akhir kedua itu, Selangor FC berjaya membelasah PDRM FC 4-0 sekali gus muncul juara Piala Cabaran dengan agregat 7-0.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, beliau mengakui PDRM FC serba tidak menjadi selepas turut kehilangan penyerang utama mereka, Ifedayo Olusegun sehingga mencacatkan jentera serangan pasukan.

“Saya akui memang ada perbezaan besar berbanding perlawanan pertama. Kita tidak dapat turunkan pasukan terbaik dengan kecederaan Ifedayo.

“Kita agak ketara lemah di bahagian tengah dan serangan. Seterusnya, kita dihukum dengan dua gol awal selain layangan kad merah (kepada Muhammad Eizrul Ashraf Nor Effendy) membunuh semangat pemain,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top