Hulk Hogan masuk hospital, tapi tak tenat

Hulk Hogan masuk hospital, tapi tak tenat


Los Angeles: Hulk Hogan dimasukkan ke hospital namun tidak berada dalam keadaan nazak sepertimana berita terbesar di media sosial.

Terdapat perbincangan di media sosial bahawa legenda WWE itu mengalami masalah kesihatan yang serius, namun menurut laporan TMZ, difahamkan bahawa beliau tidak berada dalam keadaan tenat.

Mereka melaporkan bahawa bintang berusia 71 tahun itu dimasukkan ke hospital minggu ini bagi merawat masalah leher dan belakang yang berlarutan.

Kebimbangan terhadap kesihatannya mula timbul selepas laporan daripada personaliti radio, Bubba the Love Sponge.

Dia berkata Hogan berada dalam keadaan yang kurang baik, seperti dipetik daripada beberapa laporan.

Namun TMZ melaporkan bahawa Hulkster berada dalam keadaan baik selepas menerima rawatan di hospital.

Difahamkan beliau kini sudah kembali bangun dan bergerak seperti biasa. Ikon gusti itu sebelum ini menjalani pembedahan leher bulan lalu, dipercayai membabitkan prosedur fusi tulang.

Bintang WWE dengan nama sebenar Terry Bollea itu malah kembali bekerja kurang daripada 24 jam selepas pembedahan.

Beliau sedang membuat persiapan untuk pelancaran liga gusti miliknya sendiri, Real American Freestyle.

“Proses pemulihan yang pantas,” kata wakilnya kepada TMZ ketika itu.

Hogan turut mendedahkan kepada Logan Paul dalam podcastnya bahawa beliau sudah menjalani sekurang-kurangnya 25 pembedahan antara tahun 2014 hingga 2024.

“Saya sudah lalui 10 pembedahan belakang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top