Hun Haqeem gembira hiburkan penonton, akui sukar ramal kutipan filem

Hun Haqeem gembira hiburkan penonton, akui sukar ramal kutipan filem



am@hmetro.com.my

Putrajaya: Pelakon Hun Haqeem, 27, mengakui dia sendiri tidak tahu sama ada namanya mampu untuk menarik penonton ke pawagam atau sebaliknya.

Kata pelakon filem Soloz: Game Of Life ini, misi utamanya adalah untuk buat orang terhibur menonton lakonannya (hasil kerja) sama ada di televisyen mahupun di layar perak.

“Sebab itu saya tak nak komen soal kutipan filem Soloz di pawagam. Sebagai pelakon, apa yang saya harapkan siapa yang tonton filem Soloz akan terkesan dengan cerita itu.

“Kita mahu cerita itu jadi inspirasi kepada mereka yang menontonnya. Kalau orang rasa filem Soloz menjadi inspirasi buat mereka, ia satu kejayaan buat saya.

“Selebihnya, kita berserah kepada Allah kerana kita sudah cuba yang terbaik untuk filem itu,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran single Bazar Malam Raya penyanyi Ara Johari dan penampilan Trio Latah yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Mengulas kutipan filem Soloz yang didakwa tidak sehebat filem arahan Syafiq Yusof seperti sebelum ini, kata Hun, dia tiada komen untuk perkara itu.

“Dari segi kutipan filem di pawagam, kita tidak pernah akan tahu hasilnya. Contohnya, kalau kita buat formula seperti ini apa hasilnya dan kalau buat pemasaran sedemikian apa pula hasilnya kerana banyak benda yang kita buat membabitkan media sosial.

“Sebenarnya, susah untuk menjangka dari segi kutipan di pawagam kerana kadang-kadang mungkin kurang kesedaran mengenai filem itu dan mungkin dari segi pengiklanan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Hun, dia percaya filem Soloz yang ditayangkan di pawagam pada 23 Januari lalu masih mencapai jangkaan dan diterima penonton.

“Insya-Allah, kita masih boleh perbaiki lagi karya animasi pada masa akan datang. Kali ini, kita mengambil risiko untuk hasilkan filem yang luar dari kebiasaan seperti genre seram, komedi dan aksi.

“Apa yang penting, kita sangat bangga untuk tonjolkan filem ini kepada penonton tempatan mahupun di luar negara di mana kita mampu menjayakan cerita animasi sedemikian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top