KEPUTUSAN di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang tidak memihak kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain mengukuhkan bahawa pemalsuan dokumen berlaku dan tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berwajib.
Pemerhati sukan tempatan, Zakaria Rahim berkata, tindakan memalsukan dokumen bagi mendapatkan kerakyatan merupakan satu kesalahan jenayah yang amat serius serta mencabuli kedaulatan negara.
“Sebagai langkah awal, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu menarik balik sebarang kerakyatan yang diberi kepada tujuh pemain tersebut yang jelas telah memalsukan dokumen bagi menyokong permohonan mereka. Ia soal kedaulatan negara, jangan dicabuli.
“Manakala polis sangat wajar bertindak keatas pelaku atau ajen yang menerima dokumen daripada pemohon, mengubah suai dokumen, menyerahkan dokumen kepada JPN, penerima (pegawai JPN) yang memproses dokumen palsu dan pegawai yang meluluskan permohonan walau maklum bahawa dokumen itu telah dipalsukan.
“Kerakyatan adalah soal kedaulatan negara. Memalsukan dokumen seperti pasport atau kad pengenalan adalah jenayah yang sangat serius dan pelakunya mesti didakwa.
“Jika gagal, bermakna kita berada di dalam negara yang ada undang-undang tetapi tidak dilaksanakan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Ujarnya, pihak terbabit wajar didakwa di mahkamah bagi memberi ruang kepada mereka mempertahankan diri, sekali gus mengelakkan rakyat daripada terus membuat spekulasi.
“Tugas penguasa adalah untuk mengelak dan menghentikan orang ramai daripada berspekulasi dengan mengambil tindakan yang meyakinkan.
“Jangan hanya sebut ‘mohon orang ramai tidak melakukan sebarang spekulasi’ di perenggan akhir setiap kenyataan media, tetapi tiada tindakan tegas yang dibuat,” jelasnya.
Sementara itu, beliau juga mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kertas siasatan bagi meneliti kemungkinan wujud unsur rasuah dalam proses kelulusan dokumen tersebut, yang mana rasuah tidak hanya terhad dalam bentuk wang ringgit.
Beliau berkata, persoalan utama memandangkan FIFA dan CAS telah memperakui berlaku pemalsuan, bagaimana dokumen tersebut boleh diproses dengan begitu mudah dan segera oleh JPN.
“Apa yang mendorong JPN meluluskannya? Pegawai yang terlibat telah melakukan pecah amanah dan perlu didakwa bagi memberi keadilan kepada diri mereka khasnya serta rakyat Malaysia amnya,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Keputusan CAS tidak memihak kepada FAM dan tujuh pemain menegaskan pemalsuan dokumen telah berlaku
- Pemalsuan dokumen untuk kerakyatan adalah kesalahan jenayah serius dan mencabuli kedaulatan negara
- KDN, JPN, dan JIM harus menarik balik kerakyatan tujuh pemain tersebut yang terlibat dalam pemalsuan
- Tindakan hukum harus diambil terhadap semua pihak yang terlibat dalam proses pemalsuan dokumen
- SPRM diminta membuka semula siasatan untuk menilai kemungkinan unsur rasuah dalam kelulusan dokumen pemain





