Ibarat tunai impian arwah anak hantar Norma ke tanah suci

Ibarat tunai impian arwah anak hantar Norma ke tanah suci


ARAU: Seorang warga emas dari Kampung Sungai Padang di sini, teruja apabila hasrat menunaikan haji termakbul setelah terpilih melaksanakan ibadah itu tahun ini.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati Norma Ngah, 66, dia masih terkenang arwah anak sulungnya yang sebelum ini pernah memasang impian menghantarnya ke tanah suci.

Norma bakal berangkat bersama ibunya, Romlah Din, 85.

Norma berkata, anak sulungnya meninggal dunia pada 2021 manakala anak kedua pula pada 2020 disebabkan jangkitan Covid-19.

“Saya sangat terharu sebab sebelum ini, arwah anak sulung saya memang ada pasang impian hendak hantar saya ke sana (Mekah), namun tidak sempat. Jadi bila dapat pergi kali ini, sedikit sebanyak seperti tunaikan hasrat arwah yang sebelum ini tidak kesampaian.

“Semasa hayat, anak sulung saya sememangnya berhasrat hendak bawa saya tunaikan haji namun tidak sempat sebab Allah lagi sayangkannya. Alhamdulillah, saya dan mak dapat tawaran ke sana selepas beberapa tahun anak meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Kata ibu kepada tujuh anak itu, dia sememangnya tidak menyangka menerima tawaran haji berkenaan dalam masa lima tahun selepas anaknya meninggal dunia.

Katanya, sewaktu menerima tawaran itu, dia juga berbelah bagi berikutan hanya mempunyai simpanan sekitar RM5,000 sahaja.

“Namun begitu, anak-anak yang lain telah bersama-sama membantu bagi mencari baki wang berkenaan hanya dalam tempoh masa dua minggu sahaja,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top