Maran: “Emak ada kata nak balik ke rumah…tapi hajatnya tak kesampaian apabila emak ditakdirkan pulang ke negara abadi.”
Itu kata Mohamad Sofian Rohime, 22, yang dirundung duka selepas ibu tercinta, Allahyarham Azmiza Mat Zam, 49, dijemput Ilahi kira-kira jam 10 pagi sehari sebelum mereka sempat menyambut Aidilfitri bersama.
Lebih memilukan, Mohamad Sofian yang bekerja sebagai tukang paip tiada di sisi ketika ibunya menghembuskan nafas terakhir.
Berkongsi kisah itu, Mohamad Sofian yang menetap di Taman Maran Jaya, dekat sini, berkata ibunya meninggal dunia akibat barah payudara tahap empat dan dia baru tahu mengenainya pada November lalu.
“Emak sudah empat tahun menderita akibat barah payudara dan tak pernah bercerita mengenainya.
“Tapi saya sedar ada yang tidak kena selepas nampak sebelah payudara emak membengkak dan bila tanya, baru emak cerita hal sebenar.
“Emak tak pergi dapatkan rawatan dan sebelum ini hanya makan ubat tahan sakit. Selepas dapat tahu emak sakit, saya bantu jaga, cuma kesihatannya merosot dan dimasukkan ke hospital Ramadan keempat lalu,” katanya.
Menurut Mohamad Sofian, ibunya sedar sebelum meninggal dunia dan dia yang menjaga ketika di wad Hospital Temerloh, Pahang.
“Boleh dikatakan, saya yang teman emak ketika di wad cuma sebelum emak pergi, saya balik sekejap ke rumah untuk mandi.
“Waktu di rumah, saya terima panggilan emak meninggal dunia dan tergamam ketika itu kemudian terus maklumkan keluarga dalam kumpulan WhatsApp.
“Emak selamat dikebumikan jam 3.30 petang di tanah perkuburan berhampiran rumah,” katanya.
Mohamad Sofian berkata, sambutan hari raya sangat berbeza, malah suasana dalam rumah juga sepi tanpa ibunya.
Lebih menyedihkan apabila mengenangkan dirinya yang sudah bergelar yatim piatu kerana bapanya, Rohime Mohamad juga sudah meninggal dunia dua tahun lalu akibat serangan jantung.
“Selalu emak yang kejut bangun dan hidang makanan tapi tahun ini tiada lagi semua itu.
“Raya tetap disambut tapi dalam keadaan kami sekeluarga yang masih bersedih dan saya terkesan kerana sangat rapat dengan emak.
“Lagipun, emak ceria orangnya, malah sakit pun dia tak bercerita daripada awal. Cuma emak sempat pesan untuk jaga adik dan saya akan cuba laksakan amanatnya itu dengan sebaiknya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





