Hanya kerana mengidam ayam gepuk, seorang wanita hamil berdepan detik menakutkan apabila suaminya bertindak ganas dengan mencekik leher, menampar muka, menumbuk kepala dan mengacukan pisau sayur ke leher mangsa dalam kejadian di Flat Sri Sabah, Cheras.
Lebih menyayat hati, lelaki terbabit turut memaki hamun dan menghina isterinya dengan kata-kata kesat sehingga menyamakan mangsa dengan ‘anjing’ ketika pertengkaran berlaku, Rabu lalu.
Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu berlaku selepas wanita berusia 34 tahun berkenaan yang berada di rumah meminta suaminya membelikan ayam gepuk kerana mengidam.
Namun permintaan kecil itu rupa-rupanya mencetuskan kemarahan lelaki terbabit sehingga bertukar menjadi insiden keganasan rumah tangga.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek bertindak agresif terhadap isterinya selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

“Permintaan itu dipercayai menimbulkan kemarahan suspek yang memaki hamun mangsa dengan menyebut dia membela tiga ekor ‘anjing’ dalam rumah ini dan menyuruh wanita itu masak sendiri.
“Suspek kemudian bertindak agresif dengan mencekik leher mangsa sebelum mencapai sebilah pisau sayur dan meletakkannya di leher wanita berkenaan.
“Suspek turut menampar muka dan menumbuk kepala mangsa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan di bahagian kanan leher,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Rosdi, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras dan berada dalam keadaan stabil.






