am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 60 anak asnaf dan gelandangan sekitar Chow Kit disantuni Yayasan Ikram Malaysia bersama Kedutaan Republik China menerusi sumbangan baju raya di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikram Malaysia, Dr Zaharuddin Saidon berkata, sumbangan berkenaan bagi menceriakan dan membantu golongan kurang bernasib baik menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Menurutnya, semua kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun itu turut ditemani ibu masing-masing untuk memilih sendiri pakaian berupa baju Melayu dan baju kurung.
“Melalui program ini, kita raikan mereka melalui belanja baju raya baharu mengikut citarasa dan pilihan kanak-kanak ini.
“Ini adalah tahun kelima berturut-turut program ini dilaksanakan. Insya-Allah, sumbangan ini akan diteruskan pada tahun hadapan demi kebajikan golongan memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Sharliawani Abd Majid, 36, berkata dia bersyukur apabila dua anaknya, Airis Elena, 9, dan Airil Rayyan Sahri, 14, menerima sumbangan ini sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Ini adalah kali pertama anak saya menerima sumbangan sebegini dan saya sangat bersyukur kerana terpilih.
“Peluang ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya dalam menyediakan pakaian raya untuk anak-anak.
“Anak-anak pun gembira dengan peluang ini sehingga mereka berpakat dengan kawan-kawan yang lain untuk mencari baju raya sedondon,” katanya.
Penerima lain Analina Mansor, 33, berkata dia tersentuh kerana dua anaknya berusia tujuh dan 12 tahun dapat meraikan Aidilfitri dengan baju Melayu dan baju kurung baharu.
“Alhamdulillah, sumbangan ini sangat membantu meringankan beban suri rumah seperti saya dalam membuat persiapan raya.
“Anak-anak pun cukup ceria dan seronok kerana ini kali pertama mereka berpeluang memilih sendiri baju raya di kedai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd