Ibu tunggal gigih jaga ayah terlantar, anak sumber kekuatan

Ibu tunggal gigih jaga ayah terlantar, anak sumber kekuatan



am@hmetro.com.my

Port Dickson: Bukan sahaja perlu memelihara empat anaknya seorang diri, tetapi ibu tunggal ini turut menjaga bapanya yang terlantar uzur.

Menurut Nur Adlina Hussin, 49, dia menganggap segala yang berlaku itu sebagai dugaan perlu dihadapi.

“Dunia saya hanya ayah, Husin Jamaluddin, 80, yang uzur selain anak-anak semuanya masih belajar, dua di sekolah menengah dan dua lagi di universiti.

“Saya pernah bekerja di sektor kerajaan tetapi terpaksa berhenti kerja kerana perlu menjaga ayah yang tidak mampu berjalan selepas kedua-dua kakinya terpaksa dipotong dan dia juga menghidap pelbagai penyakit seperti jantung, kolesterol, darah tinggi, kencing manis, buah pingang, prostat, darah beku di saluran pernafasan dan buah pinggang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Intan Perdana, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika berpisah dengan suami, anak sulungnya, Muhammad Firdaus Asrullah baru berusia lapan tahun banyak membantu menjaga adik serta datuknya.

“Dia yang memberi saya kekuatan dan saya cuma perlu pastikan anak saya tetap dapat belajar sehingga ke peringkat tertinggi demi masa depannya, hanya itu nasihat saya kepada anak-anak.

“Mujur anak-anak amat memahami kesusahan yang kami hadapi terutama selepas ibu saya meninggal dunia empat tahun lalu akibat sakit tua,” katanya.

Nur Adlina berkata, empat anak lelakinya itu adalah kekuatan baginya untuk menghadapi dugaan hidup.

“Selain Muhammad Firdaus, 21, tiga lagi anak saya, Muhammad Firhad Asrullah, 19, Muhammad Firas Asrullah, 16, dan Muhammad Firman Asrullah, 13.

“Alhamdulillah, dua daripadanya sedang belajar di UiTM Lendu, Melaka dan UiTM Rembau manakala dua lagi masih bersekolah di Sekolah Menengah Datuk Abdul Samad dan tinggal di asrama.

“Bagi menampung keperluan harian, saya buat jualan aiskrim dan juga mengambil tempahan memasak lauk dalam jumlah yang kecil kerana saya ada masalah ‘slip disc’ menyebabkan pergerakan agak terbatas.

“Saya juga ada menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebanyak RM680 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 untuk persekolahan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, menjelang Aidilfitri ini, dia turut menerima bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang Abdul Fatah Zakaria dan juga Exco Kerajaan negeri Datuk Mohd Faizal Ramli.

“Alhamdulillah, ramai yang membantu termasuk pihak Masjid AL Ehsaniah.

Jasa mereka tidak dapat saya balas.

“Pihak masjid dan penduduk sekitar yang membantu membaiki rumah saya dan mereka mengadakan program gotong-royong mengecat rumah yang membuatkan saya berasa seolah-olah saya ada keluarga besar di Taman Intan Perdana ini, tidak keseorangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top