Idam watak lasak

Idam watak lasak



najiy.jefri@hmetro.com.my

Alya Iman bukan satu nama yang asing dalam industri seni hiburan tanah air. Kehadirannya sebagai pelakon semakin membuahkan hasil dan meraih perhatian ramai.

Jika sebelum ini namanya sering dikaitkan dengan imej seksi dan kontroversi panas, tapi sejak kebelakangan ini bakatnya mula dipandang, sekali gus menuai pujian.

Mengakui masih solo selagi belum melangkah ke gerbang perkahwinan, Alya berkata, fokus utamanya ketika ini membina jenama yang kukuh sebagai pelakon.

“Selagi belum berkahwin saya boleh dianggap masih solo, tapi status saya sekarang ‘not available’.

“Saya nak beri sepenuh tumpuan kepada kerjaya lakonan dulu, sebab saya nak pergi jauh dalam bidang ini dan enggan mensia-siakan segala peluang yang diberikan,” katanya.

Ditanya benarkah ada dakwaan mengaitkan dirinya ‘tidak boleh hidup tanpa lelaki’, Alya tampil mempertahankan diri dan tidak menolak kehidupan yang dilalui memaksa dia untuk sentiasa memiliki peneman.

“Mungkin juga, sebab saya sejak kecil kurang kasih sayang dan sentiasa keseorangan berikutan adik-beradik lain semua dah berkahwin. Jadi, saya rasa lebih baik untuk memiliki teman lelaki.

“Sekurang-kurangnya kehadiran lelaki dalam hidup saya dapat membantu segala hal apabila saya memerlukannya.

“Tapi, macam saya katakan sebelum ini, sekarang saya berada pada fasa untuk tidak fikir soal cinta kerana saya ada misi yang lebih besar iaitu membina nama dalam bidang ini,” katanya.

Mengulas mengenai ciri-ciri lelaki idaman, Alya memberitahu, dia mencari seseorang yang jujur, baik hati dan sentiasa menyokong minatnya.

“Saya juga mencari lelaki yang bersifat lebih dominan atau alpha, tapi segala ciri-ciri yang saya cari ini kadangkala tak boleh bergantung 100 peratus.

“Ini kerana kadangkala kita terjumpa seseorang yang tiada ciri yang kita cari itu, tapi dia sentiasa ada untuk melengkapi hidup kita,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya seni yang semakin bersinar selepas kejayaan melakonkan watak utama dalam drama Anggun Mikayla, Alya berkata, dia kini terbabit dalam sebuah drama terbitan pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima.

“Selepas berehat selama dua bulan kerana terlalu sibuk bekerja, saya kini kembali ke set penggambaran dengan Erma.

“Saya agak gementar untuk bekerjasama dengannya, tapi dalam masa sama sangat teruja untuk melakukannya.

“Insya-Allah saya juga bakal terbabit dalam penggambaran sebuah filem tahun depan,” katanya.

Tambah Alya, sebagai pelakon yang masih ‘hijau’ dalam industri, dia ingin mencabar dirinya membawakan pelbagai karakter.

“Sebelum ini saya sering dapat watak yang hampir sama, tapi kali ini saya nak cuba teroka karekter berbeza.

“Saya teringin nak cuba bawa watak lasak pula, sebab selalunya saya melakonkan watak wanita yang manja saja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top