Pelakon dan penyanyi Erra Fazira berkata dia tidak memberi halangan buat puterinya, Engku Aleesya untuk menceburi bidang penulisan dan penerbitan buku.
Memetik Astro Gempak, Erra berkata sekiranya anaknya meminati hiburan dia juga tidak menghalang malah akan hantar ke kelas vokal seandainya Aleesya minat dalam nyanyian.
BACA: Engku Emran Ajak Aleesya Teman Solat Hajat 5 Hari Sebelum Ibunya Meninggal
“Saya sebenarnya tiada halangan untuk Aleesya menjadi penulis. Tapi saya galakkan dia untuk jadikan bidang ini sebagai punca pendapatan sampingan.
“Kalau boleh saya mahu dia belajar lagi dan terokai bidang lain-lain juga. Kalau dia mahu jadi veterinar, pakar psikologi atau terbabit dalam bidang hiburan sekali pun, dia boleh jadikan penulisan ini sebagai sampingan.
“Kalau dia minat hiburan saya lebih galakkan dia untuk jadi pengacara. Cuma, sekarang ini macam ada ‘berlian’ dalam mulut dia, introvert. Jika dia minat menyanyi saya hantar ke kelas vokal,” katanya.
Sementara itu, Erra berkata dia bangga anaknya berjaya menerbitkan sebuah buku sulung di usia muda serta mendedahkan Aleesya sudah menunjukkan minat terhadap penulisan sejak kecil lagi.
“Saya bukan mahu memuji anak tetapi saya kagum dengan ideanya yang saya sifatkan di luar kotak dalam penulisan. Sejak kecil dia sudah tunjukkan bakat menulis,” katanya.
Difahamkan, buku pertama Aleesya diterbitkan oleh Tertib Publishing sebanyak 1,000 naskhah telah terjual sebanyak 50 peratus.
Sumber: Astro Gempak





