Identiti Muslim bukan milik bangsa

Identiti Muslim bukan milik bangsa


ISLAM tidak pernah terikat dengan bangsa, warna kulit, pertuturan mahupun makanan, sebaliknya ia diukur melalui akhlak yang mencerminkan ketakwaan kepada ALLAH SWT.

Itu antara inti pati penting diketengahkan dalam New Muslims Community Conference 2025 yang membincangkan topik ‘Agama bukan drama – Perspektif mualaf terhadap pentas politik Malaysia’, yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut salah seorang panel yang juga pendakwah bebas, Firdaus Wong, dirinya sering dilabel sebagai ‘lebih Melayu daripada Melayu’ setiap kali bercerita tentang pengalaman sebagai mualaf Cina.

FIRDAUS WONG -Foto: IHSAN PERTUBUHAN AL KHAADEM

Hakikatnya, ujar beliau, identiti bangsa bukanlah pilihan manusia, sebaliknya ketentuan ALLAH SWT.

“Pada dasarnya tidak ada apa-apa yang boleh dijadikan kayu ukur (seorang Muslim). Saya berbangsa Cina, ada yang India atau Melayu. Itu semua bukan pilihan kita.

“Keindahan Islam ialah ALLAH tidak akan menghakimi kita berdasarkan etnik, sebaliknya iman dan amal soleh.

“Dalam al-Quran dan hadis, tidak disebut bangsa tertentu sahaja layak ke syurga, sebaliknya yang masuk syurga ialah mereka yang bertakwa,” jelasnya.

Pengasas dan Presiden Multiracial Reverted Muslim itu menambah, amalan seharian menjadi cerminan sejauh mana Islam dipraktikkan meskipun dalam perkara kecil dan beliau banyak belajar daripada gurunya, Datuk Dr Sheikh Hussain Yee.

DARI kiri: Firdaus Wong, Kamarudin, Dr Adam Voo dan moderator, Farouq Danial Dzulastra merakam kenangan selepas program New Muslims Community Conference 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini. -Foto: IHSAN PERTUBUHAN AL KHAADEM

DARI kiri: Firdaus Wong, Kamarudin, Dr Adam Voo dan moderator, Farouq Danial Dzulastra merakam kenangan selepas program New Muslims Community Conference 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini. -Foto: IHSAN PERTUBUHAN AL KHAADEM

“Saya melihat sendiri bagaimana beliau menjaga kebersihan, adab dan tertib walaupun hal kecil seperti menyusun kasut atau mengelap meja.

“Dari situ saya belajar, perkara besar hanya berlaku apabila kita bermula dengan perkara kecil,” ujarnya.

Dakwah bermula dengan akhlak, masjid

Sementara itu, Pengasas dan Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Datuk Kamarudin Abdullah menjelaskan, pengalaman hidup sebagai mualaf membuatkan beliau sering berdepan dengan pelbagai tanggapan.

“Di Afrika Selatan, orang kata masuk Islam (automatik) jadi orang India. Di United Kingdom pula dikatakan jadi Arab. Di Malaysia, masuk Melayu pula.

”Saya hanya senyum kerana bagi saya, Islam tidak mengenal bangsa,” katanya.

KAMARUDIN -Foto: IHSAN PERTUBUHAN AL KHAADEM

KAMARUDIN -Foto: IHSAN PERTUBUHAN AL KHAADEM

Beliau kemudian mengimbas pengalaman duduk bersebelahan dengan seorang penumpang Cina dalam pesawat suatu ketika dahulu.

Pada mulanya, individu itu memandang sinis, namun selepas berbual, akhirnya tercetus perbincangan panjang tentang Laksamana Cheng Ho dan sejarah Muslim di China.

“Dia kata, kenapa tiada orang beritahu saya semua ini sebelum ini? Dalam hati saya (pula terdetik), kenapa dia tidak pernah bertanya?

“Sebenarnya, dakwah perlu ‘dimainkan’ oleh kedua-dua belah pihak. Muslim mesti menerangkan, bukan Muslim juga perlu bertanya,” katanya.

Baginya, usaha dakwah yang berkesan adalah dengan membuka ruang masyarakat bukan Islam untuk mengenali Islam lebih dekat.

Oleh itu, sejak tahun 1990, beliau memulakan program lawatan masjid di Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.

“Ada satu hari, seorang wanita Cina datang melawat masjid. Petang, dia bawa suami. Kemudian keluarganya dan seterusnya satu kampung.

“Akhirnya 3,000 orang Cina melawat masjid dalam sehari. Dari situ, mereka mula memahami Islam,” ceritanya.

Perubahan hakiki lahir melalui ilmu

Seorang lagi panel yang juga penulis buku 100 Hadith Sunan Abu Dawud, Dr Adam Voo Abdullah turut berkongsi naratif sama.

Selepas memeluk Islam, insan terdekat menyangka beliau sekadar meninggalkan arak, daging khinzir dan perjudian.

TIDAK kiralah apa jua bangsa, warna kulit dan budaya, kita saudara seislam tetap disatukan oleh akidah yang sama. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF

TIDAK kiralah apa jua bangsa, warna kulit dan budaya, kita saudara seislam tetap disatukan oleh akidah yang sama. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF

“Dengan wajah Cina, orang tetap tidak menganggap saya sebagai Muslim.

“Namun, berapa lama mereka mahu melihat begitu? Hakikatnya, perubahan sebenar hanya berlaku apabila kita mempelajari Islam dengan betul dan beramal dengannya,” katanya.

Dr Adam Voo turut berkongsi pengalaman awalnya sebagai mualaf dan menjelaskan bahawa dakwah paling berkesan adalah melalui akhlak.

Pernah suatu ketika, seorang rakan sekerja bukan Muslim berlainan jantina tersinggung kerana beliau enggan bersalaman.

Namun selepas bekerja bersama, wanita itu akhirnya berkata: “Dia seorang yang baik, sangat dipercayai dan tegas menjaga maruah. Inilah sepatutnya Islam.”



Source link

OR

Scroll to Top