Seoul: Iga Swiatek bangkit daripada permulaan buruk untuk menjulang gelaran Terbuka Korea selepas menewaskan wakil Rusia, Ekaterina Alexandrova 1-6, 7-6 (7/3), 7-5 di final.
Pemain nombor dua dunia itu tewas mudah pada set pertama selepas melakukan banyak kesilapan yang langsung tidak mencerminkan prestasi dominan sepanjang minggu di Seoul.
Ekaterina, yang kini berada di ranking ke-11 dunia, hanya tinggal dua mata untuk menamatkan saingan sebagai juara, namun Iga berjaya mengheret perlawanan ke penentuan tie break sebelum menemui rentak sebenar pada set penentuan.
Kemenangan itu menghadiahkan juara Grand Slam enam kali dari Poland berusia 24 tahun itu gelaran ketiga musim ini dan yang pertama di ibu kota Korea Selatan.
Iga menyifatkan kejayaan itu cukup bermakna kerana bapanya, Tomasz, pernah bertanding dalam acara sukan mendayung di Sukan Olimpik Seoul 1988.
“Saya gembira dapat menang di sini kerana ada sejarah keluarga. Ayah saya tidak dapat menang di Olimpik, tapi sekurang-kurangnya saya berjaya menang kejohanan ini,” katanya sambil menambah harapan bapanya akan hadir tahun depan.
Iga yang muncul pilihan utama mara ke final dengan mudah, selepas menang dua perlawanan berturut-turut pada Sabtu dengan tempoh keseluruhan hanya dua jam setengah.
Namun sentuhan emasnya hilang ketika aksi final, dengan kesilapan demi kesilapan sekali gus memberi kelebihan kepada pilihan kedua, Ekaterina.
Selepas keluar seketika meninggalkan gelanggang untuk menenangkan diri, Iga kembali dengan penuh semangat, meskipun masih bergelut sebelum memaksa permainan ke penentuan tie break.
Iga tampil lebih tenang pada set ketiga dan menamatkan aksi penuh dramatik itu dengan pukulan forehand kencang sebelum menjatuhkan raket dan meraung kegembiraan.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana saya boleh menang sebab awak (Ekaterina) bermain dengan hebat. Saya hanya cuba untuk bertahan,” katanya kepada lawannya sejurus tamat perlawanan.
Ini adalah pertemuan keempat musim ini antara kedua-dua pemain, dengan Iga pernah menewaskan Ekaterina di pusingan ke-16 Terbuka Amerika Syarikat.
Ekaterina yang pernah muncul juara Terbuka Korea pada 2022 pula sedang memburu gelaran keduanya musim ini.
“Setiap kali menentangnya memang sangat sukar. Saya cuba beri yang terbaik hari ini, tapi masih tidak mencukupi. Mungkin lain kali saya akan bermain lebih baik,” kata Ekaterina.
© New Straits Times Press (M) Bhd