June 13, 2024

Iga teruskan kemaraan di Stuttgart


Stuttgart, Jerman: Pemain nombor satu dunia dan juara bertahan, Iga Swiatek melebarkan kemenangan di Stuttgart apabila melakarkan kemenangan ke-10 berturut-turut selepas menang di suku akhir ke atas Emma Raducanu manakala saingan kejuaraan Aryna Sabalenka dan Coco Gauff mengalami kekalahan mengejut.

Ia yang diletakkan sebagai pilihan utama yang juga juara 2022 dan 2023 di kejohanan gelanggang tanah liat Jerman, menewaskan bekas juara Terbuka AS, Emma 7-6 (7/2), 6-3.

Manakala juara Wimbledon, Marketa Vondrousova menewaskan pemain nombor dua dunia dan naib juara Stuttgart tiga kali, Aryna 3-6, 6-3, 7-5.

Juara Terbuka AS, Gauff yang juga pemain nombor tiga dunia, tewas 3-6, 6-4, 7-6 (8/6) kepada pemain Ukraine, Marta Kostyuk.

Iga yang berusia 22 tahun hanya memerlukan dua jam lebih untuk mengalahkan Emma yang beraksi pada suku akhir pertamanya sejak 2022.

“Awal permainannya dengan agak goyah, seperti tiada apa yang rugi dan saya faham sepenuhnya. Kadang-kadang macam tu,” kata Iga.

“Tetapi saya tahu saya mempersoalkan sama ada dia akan dapat mengekalkan rentak sama sepanjang perlawanan.

“Ia bukan tentang permainan servis atau permainan balas. Saya hanya menunggu peluang saya untuk membalas balik dan saya yakin bahawa saya akan mendapatkannya.”

Biarpun tewas Emma menunjukkan tanda-tanda dia akan kembali menguasai dunia tenis.

Dua kemenangannya di Britain, Piala Billie Jean King hujung minggu lalu diikuti dengan dua kemenangan di Stuttgart menujukkan dia kali pertama memenangi empat perlawanan berturut-turut sejak kejayaannya merangkul kejuaraan Terbuka AS 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top