KUALA LUMPUR- Iskandar Investment Berhad (IIB) menjalinkan kerjasama strategik dengan KILSA Global bagi mempercepatkan kemasukan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Korea ke Asia Tenggara.
Kerjasama itu katanya, bukan sahaja bertujuan untuk meletakkan Medini dan Iskandar Puteri sebagai hab utama bagi inovator Korea tetapi juga untuk menarik bakat global, pelaburan, dan inovasi ke Johor seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri Johor.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, syarikat itu komited untuk memudahkan perniagaan Korea dengan menyediakan sokongan pelaburan yang komprehensif.
IIB juga menghubungkan mereka dengan agensi utama seperti Invest Johor, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk proses persediaan yang lancar.
“Melalui perkongsian ini, kami berhasrat untuk memupuk ekosistem inovasi yang rancak yang mampu menggalakkan kerjasama antara perniagaan Korea, pemain industri tempatan dan institusi pendidikan.
“Ini akan membolehkan akses kepada bimbingan, rangkaian, dan peluang pembangunan bakat, memastikan inovator Korea mempunyai sumber, infrastruktur dan rangkaian untuk berkembang dan berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KILSA Global merupakan platform perkhidmatan pengembangan yang beribu pejabat di Singapura.
Philip Jongseok Park, Pengarah Urusan KILSA Global berkata, kerjasama itu menyediakan perniagaan Korea gerbang ke salah satu wilayah yang paling pesat berkembang di dunia.
Katanya, terdapat lebih 30,000 PKS Korea sedang aktif untuk melebarkan sayap ke luar negara.
“Ekonomi digital rantau ini dijangka akan mencapai dolar AS 300 bilion menjelang 2025, dan kami teruja untuk menghubungkan syarikat pemula dan PKS Korea dengan potensi besar yang ditawarkan Medini dan Iskandar Puteri, terutamanya dalam ruang teknologi dan inovasi,” katanya.- MalaysiaGazette