IIC saran FAM buat laporan polis

IIC saran FAM buat laporan polis

IIC saran FAM buat laporan polis


PETALING JAYA: Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) menyarankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera membuat laporan polis susulan kegagalan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dalam kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Rumusan itu dibuat selepas IIC, yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, menamatkan siasatan terperinci dan membentangkan laporan setebal 59 muka surat berhubung kontroversi berkenaan.

Dalam laporan tersebut, FAM disaran mengambil beberapa langkah segera termasuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan, melaksanakan tindakan tatatertib dalaman terhadap pihak yang cuai serta melakukan pembaharuan struktur pentadbiran seperti yang dicadangkan oleh IIC.

“Ia penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang serta memulihkan integriti dan keyakinan terhadap operasi FAM,” kata laporan tersebut.

Menurut laporan itu juga, IIC tidak dapat menentukan secara muktamad pihak yang memalsukan dokumen kerana beberapa kekangan utama, termasuk kegagalan Notari Awam memberikan kerjasama serta ketidakmampuan mengesan ejen kepada tujuh pemain terbabit walaupun usaha munasabah telah dilakukan.

“IIC tidak dapat mengesahkan secara pasti siapa yang memalsukan dokumen-dokumen dipertikaikan.

“Namun, apa yang jelas ialah wujud kegagalan serius dari segi pengawasan, usaha wajar dan kawalan pentadbiran dalam sistem pengurusan FAM,” menurut laporan itu.

IIC turut menegaskan kelemahan dalaman FAM telah membuka ruang kepada insiden berkenaan berlaku tanpa sebarang pengesanan atau campur tangan awal, sekali gus mencalar kredibiliti badan induk bola sepak negara itu.

Kontroversi ini tercetus selepas Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan lalu menolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan berkenaan melalui laporan setebal 64 muka surat.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Dalam pada itu FAM dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Eksekutif FAM akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 22 Disember ini bagi membincangkan dapatan laporan siasatan tersebut secara terperinci sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top