syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya bukan halau jin, saya tangkap dan penjarakan mereka sampai kiamat,” dakwa Sa’ad Ja’afar, 52, yang menggelar dirinya Pakar Tangkap Jin Pertama di Dunia.
Sa’ad mengakui tugasnya bukan menghalau, sebaliknya menangkap dan mengurung makhluk halus bagi memastikan ia tidak lagi mengganggu manusia.
Sebelum ini tular di media sosial gambar kenderaan digunakan Sa’ad yang mengiklankan perkhidmatannya sebagai ‘pakar tangkap jin’.
Ketika ditemui Harian Metro, Sa’ad berkata, gelaran yang dikenakan itu timbul selepas mendakwa menjadi individu pertama menggunakan kaedah dari jarak jauh untuk menangkap makhluk halus.
Berpengalaman hampir satu dekad dalam bidang rawatan Islam, Sa’ad menjalankan tugas sebagai penjawat awam pada siang hari sebelum beralih menjadi perawat pada waktu malam.
Bermula sejak 2015, dia sudah merawat lebih 1,000 pesakit membabitkan pelbagai latar belakang dan bangsa.
Katanya yang berasal dari Melaka, kaedah rawatan pada awalnya dilakukan secara bersemuka sebelum beralih kepada jarak jauh sejak 2018.
“Dulu saya pergi ke tempat pesakit di seluruh Malaysia, tapi bila fikirkan ada juga pesakit di luar negara, saya buat penyelidikan sendiri supaya rawatan boleh dilakukan dari jauh,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, kaedah jarak jauh bukan sahaja lebih praktikal tetapi juga strategi untuk memastikan makhluk halus tidak dapat ‘membaca’ langkah rawatannya.
“Pesakit hanya perlu hubungi saya melalui WhatsApp, tidak perlu panggilan telefon. Bila kita bersedia dengan cara itu, ia lebih selamat,” katanya.
Setakat ini, dia pernah merawat pesakit dari Dubai, Pakistan dan Amerika Syarikat (AS), termasuk bukan beragama Islam yang mendapatkan bantuan selepas mengalami gangguan misteri.
Sa’ad sebelum ini dibantu rakannya, Mohd Azim Adam, 54, namun kini bergerak sendirian selepas rakan itu mengalami masalah kesihatan.
“Kerja ini memerlukan tenaga dan kesihatan yang baik sebab bila kita tak sihat, mudah diserang. Jadi buat masa ini saya tanggung sendiri semua tanggungjawab rawatan.
“Berkenaan cara tangkapan jin, saya akan tangkap, ikat ketua jin dan semua ahli kumpulannya, ‘belasah’ ketua hingga lemah. Bila sudah lemah, baru saya penjarakan semua dalam penjara yang saya bina di alam ghaib… mereka akan kekal hingga kiamat,” katanya.
Jelas Sa’ad, dia tidak mengenakan bayaran tetap untuk rawatan, sebaliknya menyerahkan kepada pesakit sama ada ingin memberi sumbangan atau tidak.
Katanya, apa yang dilakukan bukan semata-mata mencari rezeki, sebaliknya satu bentuk tanggungjawab untuk membantu manusia keluar daripada ketakutan akibat gangguan.
Selain merawat, Sa’ad kini sedang mencari individu yang benar-benar berminat untuk belajar menjadi anak muridnya bagi meneruskan kaedah rawatan berkenaan, namun katanya bukan semua layak kerana memerlukan disiplin tinggi dan ketahanan diri yang kuat.
“Ilmu ini bukan milik saya, ini ilmu Allah SWT. Saya hanya guna untuk membantu orang. Kalau ada yang nak belajar, saya akan ajar tanpa bayaran, asalkan niatnya betul,” katanya.
Sa’ad yang mengusahakan pusat rawatan iLahana turut berharap dapat melahirkan lebih ramai perawat baharu supaya ilmu yang ada padanya dapat dimanfaatkan masyarakat.
“Bidang ini bukan mudah, ramai yang takut bila dengar perkataan ‘jin’, tapi kalau niatnya kerana Allah SWT, insya-Allah semua akan dipermudahkan. Kita kena ingat, hantu yang dilihat atau ditakuti itulah jin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





