syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Malaysia yang kini mencipta nama di Indonesia, Hazman Al Idrus menegaskan prinsip keimanan dan pegangan agamanya tidak pernah goyah.
Hazman berkata, video yang memaparkannya menjalani ritual Hindu, baru-baru ini sebenarnya adalah rakaman sewaktu dia menjalani penggambaran filem bersama produksi dari Denmark.
“Video itu sebenarnya dirakam ketika saya menjalani penggambaran di Bali di bawah sebuah syarikat produksi dari Denmark.
“Dalam adegan itu, saya menggambarkan budaya dan adat masyarakat Bali, namun bagi memenuhi keperluan skrip dan jalan cerita, penggambaran dilakukan secara profesional supaya tidak menjejaskan keimanan saya.
“Sebagai anak seni yang berkarya di peringkat antarabangsa, saya perlu berdepan pelbagai cabaran seperti ini. Saya bersedia untuk meneroka watak berbeza, tetapi tetap menjaga batas sebagai seorang Muslim,” katanya kepada Harian Metro.
Hazman yang sudah tiga tahun berhijrah ke Indonesia turut berkongsi pengalamannya berlakon di negara jiran itu yang dianggap sebagai antara fasa penting dalam perkembangan seninya.
“Indonesia sangat kaya dengan adat, budaya dan bahasa. Contohnya dalam filem sebelum ini, saya membawakan watak sebagai orang Kalimantan. Saya belajar bahasa Banjar, memahami adat serta budaya mereka.
“Apabila penduduk tempatan melihat saya melakonkan adat mereka dengan baik, mereka kagum kerana orang asing dapat menjiwai budaya mereka,” katanya.
Selain berlakon, Hazman juga terbabit dalam nyanyian bagi promosi filem di kepulauan Jawa, yang menuntutnya mempelajari bahasa serta muzik tradisional masyarakat tempatan.
“Saya perlu belajar lirik lagu dalam bahasa Jawa dan memahami muzik ambyar. Apabila mereka mendengar saya menyanyi dalam bahasa mereka, mereka amat menghargai usaha saya.
“Saya berpindah negara untuk berkarya, bukan untuk berpindah keimanan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hazman berkata, seni bagi dirinya ialah medium untuk menyampaikan mesej dan cerita dengan penuh hormat terhadap budaya serta masyarakat setempat, bukan ruang untuk melanggar batas agama.
“Seni itu luas. Sebagai anak seni, setiap adegan hanyalah lakonan dan karya untuk menyampaikan cerita. Ia tidak bermaksud kepercayaan peribadi saya berubah.
“Saya sedar ada babak yang dianggap sensitif oleh sesetengah pihak, namun bagi saya, ia mengasah profesionalisme dalam kerjaya. Saya belajar berunding dengan pengarah mengenai batas lakonan yang sesuai,” katanya.
Katanya, tidak semua adegan sensitif dilakonkan sepenuhnya kerana ada babak yang hanya ditunjukkan secara simbolik mengikut skrip.
“Pihak produksi sangat menghormati pendirian saya. Karya itu tetap dihasilkan secara profesional menggunakan teknik penggambaran tertentu.
“Sebagai individu beragama Islam, saya tetap berpegang teguh pada prinsip dan keimanan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





