nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kajang: Pihak pengurusan Masjid Prima Saujana Kajang, di sini, mengadakan Program Ihya Ramadan bagi mengimarahkan masjid berkenaan.
Timbalan Nazir Masjid Prima Saujana Kajang, Datuk Suhaimi Mamat berkata, pihaknya mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan termasuk menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma.
“Ramai jemaah awal pagi sudah keluar ke pejabat dan pulang ke rumah lewat petang selain sibuk menguruskan persekolahan anak-anak.
“Situasi ini menyebabkan ramai antara kita tidak mempunyai masa untuk ke bazar Ramadan, apatah lagi memasak.
“Justeru itu, masjid ini mengadakan Program Ihya Ramadan dengan menyediakan juadah berbuka puasa, moreh dan sahur selain solat fardu berjemaah, tarawih dan tadarus,” katanya.
Terdahulu, program berkenaan dirasmikan oleh Orang Besar Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman di masjid berkenaan semalam.
Suhaimi berkata, masjid itu mula beroperasi pada 28 Mac tahun lalu bersamaan 17 Ramadan 1445H.
“Tapak masjid ini seluas 1.5 hektar dengan keluasan lantai kasar bangunan seluas 2,442 meter persegi.
“Perkara yang menggembirakan dan membanggakan saya ialah pembinaan masjid ini dibiayai sepenuhnya dengan dana wakaf.
“Sehingga kini, masjid ini tidak menerima sebarang peruntukan dan bantuan kewangan daripada kerajaan dan agensi kerajaan,” katanya.
Dengan keadaan masjid itu yang tersergam indah, luas dan lapang, beliau menyeru semua ahli kariah Masjid Prima Saujana Kajang untuk bersama-sama mengimarahkan masjid berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd