Imej satelit papar skala kemusnahan banjir di utara Sumatera

Imej satelit papar skala kemusnahan  banjir di utara Sumatera


Aceh: Sebuah satelit Agensi Angkasa Eropah (ESA) merakam skala kemusnahan banjir melanda sebahagian kawasan di Aceh, memberikan pengesahan visual yang jelas mengenai bencana di utara Sumatera sejak akhir November itu.

Memetik Jakarta Globe, imej resolusi tinggi Copernicus Sentinel-2 pada 29 November lalu, menunjukkan kawasan luas di timur Lhokseumawe tenggelam dengan kejiranan dan tanah pertanian hampir keseluruhannya diliputi air.

Siaran ESA menyatakan, pandangan satelit itu menonjolkan sejauh mana kerosakan apabila hujan monsun lebat mencetuskan banjir meluas di komuniti pesisir.

“Banjir teruk berlaku akibat hujan monsun yang lebat di seluruh wilayah dengan banjir kilat dan sungai yang melimpah menyebabkan penduduk berpindah serta menenggelamkan kawasan kejiranan,” menurut kenyataan ESA.

Dalam pada itu, misi Copernicus Sentinel-2 menggunakan konstelasi dua satelit yang sama dalam orbit yang sama tetapi di sisi bertentangan dunia dengan pengimejan multispektral resolusi tinggi dan 13 jalur spektrum.

Satelit berorbit pada ketinggian 786 kilometer (km) dan melintasi lokasi sama di bumi setiap lima hari, kerap digunakan untuk menyokong usaha tindak balas kecemasan.

Sementara itu, Disasters Charter, yang menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini, diaktifkan bagi menyediakan data satelit di Indonesia.

Banjir di Aceh Utara, bermula 26 November, digambarkan pihak berkuasa tempatan sebagai salah satu bencana alam paling buruk dalam beberapa dekad.

Dalam surat rasmi kepada presiden bertarikh 2 Disember, Ketua Daerah Aceh Utara, Ismail A Jalil berkata, skala kemusnahan ‘melebihi kerosakan gempa bumi dan tsunami 2004’, sambil meminta campur tangan kerajaan pusat.

Menurut data terkini Agensi Mitigasi Bencana Negara (BNPB), sehingga petang Jumaat, sekurang-kurangnya 867 orang disahkan maut dan 521 masih hilang.

Kerosakan rumah kediaman mencecah 10,400 unit, manakala 354 kemudahan awam, 132 rumah ibadat, sembilan fasiliti kesihatan dan 100 bangunan serta pejabat kerajaan turut terjejas.

Dalam sektor pendidikan, 213 sekolah dan fasiliti pembelajaran lain rosak, manakala 295 jambatan terjejas serta kebanyakannya kini tidak boleh dilalui.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top