IMF ramal pertumbuhan penduduk global menjadi sifar menjelang 2100

IMF ramal pertumbuhan penduduk global menjadi sifar menjelang 2100


Washington: Pertumbuhan penduduk global dijangka menurun hampir kepada sifar menjelang akhir abad ini, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Perubahan demografi luar biasa yang dijangka berlaku sepanjang abad ini menimbulkan cabaran semakin mendesak untuk semua negara. Kadar pertumbuhan penduduk global akan menurun daripada 1.1 peratus setahun sebelum pandemik Covid-19 kepada hampir sifar pada 2080 – 2100,” menurut IMF dalam satu bab laporan Tinjauan Ekonomi Dunia yang dibentangkan menjelang Mesyuarat Musim Bunga IMF dan Bank Dunia di Washington.

IMF menjangkakan penurunan berterusan dalam kadar kesuburan dan peningkatan jangka hayat akan membawa kepada perubahan ketara dalam struktur umur ekonomi.

IMF menyatakan bahawa purata umur penduduk dunia dijangka meningkat sebanyak 11 tahun antara 2020 dan akhir abad ini.

“Kekuatan demografi ini mendorong kemunculan ‘ekonomi perak’, apabila peratusan populasi berumur 65 tahun ke atas meningkat pesat di seluruh dunia, dengan kesan meluas terhadap ekonomi dan masyarakat,” menurut laporan itu.

IMF turut memberi amaran yang ekonomi di seluruh dunia semakin menghampiri “titik perubahan demografi”, iaitu apabila peratusan penduduk bekerja mula menyusut.

Semua negara maju dan pasaran membangun dijangka mencapai ambang ini menjelang 2035, manakala kebanyakan negara berpendapatan rendah akan berdepan isu serupa menjelang 2070.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top