sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Imigresen FC yang bakal bersaing dalam Liga A1 musim hadapan, tidak dibenar mendaftarkan Stadium Darul Aman (SDA) di sini, sebagai laman sendiri pasukan itu.
Sebaliknya, pasukan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu, diminta mendaftarkan Stadium Bandaraya di Pulau Pinang sebagai laman sendiri mereka.
Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Stadium Bandaraya dianggap lebih sesuai kerana Pulau Pinang mempunyai dua stadium yang boleh digunakan pasukan terbabit.
Beliau juga menganggap, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tidak membenarkan Imigresen FC menggunakan Stadium Darul Aman sebagai tidak faham keadaan di negeri ini.
“Ada orang marah kita kerana tak bagi satu pasukan yang minta untuk guna SDA, nak daftar stadium kita sebagai home (laman sendiri), nak pakai stadium kita, yang itu tak boleh.
“Saya difahamkan pasukan itu Imigresen FC, pasukan ini di bawah KDN, oleh kerana Imigresen FC di bawah KDN, saya nasihatkan mereka boleh guna Stadium Bandaraya di Pulau Pinang.
“Pulau Pinang ada dua stadium, Stadium Batu Kawan ada, Stadium Bandaraya ada. Kita (Kedah) ada satu stadium saja,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menjelaskan mana-mana pasukan masih boleh menggunakan SDA seperti biasa ketika berkunjung bagi perlawanan tempat lawan di Kedah.
Jelasnya, pasukan dalam negeri lebih berhak menggunakan SDA sebagai laman sendiri mereka berbanding pasukan luar.
“Penggunaan stadium boleh, nak daftar sebagai laman sendiri tak dibenar, setiap pasukan ada laman sendiri, nak daftar Stadium Darul Aman sebagai laman sendiri tak boleh sebab ada pasukan lain mewakili Kedah.
“Dia nak mewakili Imigresen FC boleh ke negeri lain atau ke Pulau Pinang yang sesuai untuk Imigresen FC, yang banyak imigresen di Pulau Pinang, pergilah Pulau Pinang lebih sesuai,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi memaklumkan KFA FC akan mengumumkan senarai pemain dan pasukan kejurulatihannya pada minggu kedua Julai depan.
Katanya, senarai pemain KFA FC tidak boleh didedahkan lagi, namun barisan pemain itu sudah dikenal pasti termasuk Ketua Jurulatih yang akan mengendalikan pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd