Impian emas Olimpik angkat berat kembali membara

Impian emas Olimpik angkat berat kembali membara


PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) melahirkan rasa syukur dan penuh penghargaan selepas sukan angkat berat rasmi disenaraikan semula sebagai salah satu daripada 20 sukan prestasi tinggi negara.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu titik tolak baharu untuk mengembalikan kegemilangan angkat berat tanah air selepas melalui fasa mencabar sejak 2018.

“Sukan angkat berat pernah digugurkan daripada senarai sukan elit ekoran isu doping dan beberapa kelemahan lain. Namun, sejak itu kami di PABM tidak menoleh ke belakang

“Dengan semangat baharu dan hala tuju yang lebih tersusun, PABM kini tekad untuk terus melonjakkan prestasi atlet negara ke peringkat antarabangsa sambil memastikan prinsip integriti dan profesionalisme terus menjadi tunjang utama dalam setiap langkah yang diambil persatuan,” katanya.

Sebagai rekod, angkat berat merupakan antara 20 sukan yang disenaraikan dalam senarai Sukan Teras Prestasi Tinggi yang merupakan

komitmen kerajaan dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian atlet di peringkat antarabangsa.

Tambah Ayub lagi, pelbagai pembaharuan dan transformasi menyeluruh dilaksanakan PABM termasuk dari segi perlembagaan, struktur pengurusan serta penerapan nilai disiplin dan integriti di semua peringkat.

“Kami fokus kepada pembinaan semula asas yang kukuh. Transformasi ini membuahkan hasil apabila buat pertama kalinya, atlet angkat berat Malaysia berjaya layak ke Sukan Olimpik secara merit – satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya lagi.

Menurut Ayub, penyenaraian semula angkat berat dalam kategori sukan prestasi tinggi memberi suntikan semangat baharu bukan sahaja kepada barisan atlet, malah kepada seluruh komuniti sukan itu sendiri.

“Kami yakin dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, kita mampu pecahkan lebih banyak rekod termasuk dalam Sukan Komanwel dan insya-ALLAH juga iltizam membawa pulang pingat emas pertama negara dari Sukan Olimpik menerusi sukan angkat berat,” katanya.

Dalam pada itu, PABM turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria serta bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Abdul Rashid Yaakub; Ketua Pengarah MSN baharu, Jefri Ngadirin, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan angkat berat.

“Terima kasih juga kepada pegawai-pegawai MSN, barisan jawatankuasa RTG (Road To Gold) dan exco-exco PABM serta pihak media yang kekal setia dalam susah dan senang. Ini adalah kejayaan bersama,” ujar Ayub.



Source link

OR

Scroll to Top