Arif Aiman (kiri) kembali menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya di Padang Seri Gelam, Johor Bahru pada Rabu.
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) percaya usaha untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti seperti bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Hanapi bukan sesuatu yang mustahil.
Naib presidennya, Datuk Dollah Salleh berkata, usaha ke arah tersebut boleh direalisasikan sekiranya Akademi Mokhtar Dahari (AMD) diletakkan di bawah kelolaan badan induk bola sepak itu.
“Setakat ini kita nampak seorang tetapi bagi saya ramai sebenarnya yang boleh menyerlah. Saya percayalah itulah tujuan utama kita sebenarnya apabila FAM dapat ambil alih AMD ini.
“Dari segi ‘scouting player’, jurulatih berpengalaman dan bekas pemain, Insya-ALLAH kita akan dapat mencipta lebih ramai pemain seperti Arif Aiman,” katanya.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, menggariskan visi bersama badan induk itu untuk mengurangkan kebergantungan Harimau Malaya terhadap pemain warisan dan naturalisasi pada masa depan.
Beliau bertekad memperkasakan semula program pembangunan bola sepak akar umbi dengan misi membentuk skuad Harimau Malaya yang dibarisi sepenuhnya oleh pemain tempatan.
Dollah turut berkongsi perkembangan usaha meletakkan AMD di bawah FAM yang ketika ini masih dalam proses perbincangan.
“Semuanya dalam perbincangan lagi tapi mungkin masa terdekat ini kita akan buat keputusan sama ada kemungkinan kita akan cuba mula dengan dari akar umbi iaitu AMD ini.
“Apa yang saya tahu AMD masih lagi di bawah Majlis Sukan Negara tetapi ada kemungkinan itu telah ada untuk diserahkan kepada FAM.
“Keputusan belum muktamad dan kalau berjaya berlaku kita akan usahakan yang terbaik untuk melahirkan ramai pemain yang bagus,” katanya.