Impian Farhan pacu skuad takraw negara

Impian Farhan pacu skuad takraw negara


SKUAD sepak takraw negara memasang impian besar untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun dalam acara berpasukan.

Kapten pasukan negara, Farhan Adam mengakui ia tugas sukar, namun menerusi sokongan padu peminat hasrat tersebut mampu digapai pada Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur kali ini.

“Satu sahaja saya belum capai iaitu kejuaraan acara berpasukan. Itu yang saya paling idamkan,” katanya

Biarpun merasai tekanan kian hampir menjelang pertemuan dengan musuh tradisi, Thailand, Farhan tetap optimis pasukan kebangsaan mampu melakar kejutan di laman sendiri.

“Memang ada tekanan, tapi kami ambil positif. Insya-ALLAH dengan sokongan penyokong dan semangat sepasukan, kami akan ‘tentang’ habis-habisan,” katanya.

Acara berpasukan Piala Asia di Stadium Titiwangsa bermula pada 16 Mei, manakala saingan antara regu bermula pada 13 Mei.

Farhan juga mengakui keinginan untuk menjulang trofi berpasukan menjadi pembakar semangat utamanya setiap kali turun ke gelanggang.

“Secara individu, saya sudah capai banyak kejayaan. Namun acara berpasukan rasa lain macam. Saya nak tutup karier dengan sesuatu yang bermakna,” katanya.

Skuad negara turut diserikan dengan kehadiran muka baharu seperti Khairul Aman Mohd Rosdi dan Redwan Hakim Muhammad.

Malah Farhan juga menyifatkan kedua-dua pemain itu mempamerkan kesungguhan tinggi sepanjang latihan.

“Mereka tunjuk komitmen 100 peratus. Pemain senior bantu pimpin dan beri tunjuk ajar. Itu penting untuk kukuhkan pasukan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top