Soon Huat (kanan) dan Shevon Lai ketika menentang Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsamran dalam aksi separuh akhir Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil pada Sabtu.
IMPIAN beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk melakar sejarah mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 tidak kesampaian.
Ia selepas pasangan yang menghuni ranking keenam dunia itu tewas kepada Dechapol Puavaranhkroh-Supissara Paewsampran dalam aksi separuh akhir kejohanan berstatus Super 1000 itu sebentar tadi.
Menerusi sorakan padu penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil menyuntik semangat pasangan suami isteri itu untuk menang set pertama 21-17.
Namun momentum positif gagal diteruskan apabila kesilapan menjerat gandingan negara.
Peluang itu dicuri pasangan Thailand yang berkedudukan ke-57 dunia untuk bangkit 21-12 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Impian Soon Huat-Shevon untuk mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 tidak kesampaian apabila tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsamran dalam aksi separuh akhir di Axiata Arena Bukit Jalil pada Sabtu.
Pasangan berpengalaman negara cuba bangkit, namun nasib tidak memihak mereka apabila terpaksa menyerahkan kemenangan kepada gandingan lawan 21-16 dalam tempoh 63 minit permainan.
Menanti pasangan Thailand di pentas akhir adalah antara pemenang satu lagi saingan separuh akhir yang menemukan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan pilihan pertama kejohanan dari China, Huang Dong Ping-Feng Yan Zhe.
Sebagai rekod, kali terakhir beregu campuran mara ke final kejohanan sama menerusi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada 2016.
Kali terakhir acara itu meraih gelaran di gelanggang sendiri pula adalah pada tahun 1965 menerusi Teh Kew San-Ng Mei Ling.