Pang Ron (kiri) dan Su Yin tewas kepada gandingan tuan rumah dalam aksi suku akhir Indonesia Masters di Jakarta pada Jumaat. Foto Agensi
IMPIAN beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin untuk melakar kejutan mara ke separuh akhir Indonesia Masters tidak kesampaian.
Pasangan nombor 18 dunia itu terpaksa akur tewas kepada pasangan tuan rumah, Rinov Rivaldy-Lisa Ayu Kusumawati dalam aksi suku akhir sebentar tadi.
Namun pujian wajar diberikan kepada gandingan negara kerana mampu menyerap gegak gempita sorakan ribuan peminat dalam aksi di Istora Senayan itu.
Pang Ron-Su Yin memaksa pasangan ke-15 dunia itu bekerja keras hingga ke set penentuan.
Mereka bermula positif pada set pertama untuk menang 23-21.
Pasangan tuan rumah kemudian bangkit pada permainan kedua 21-11 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
Kesilapan ketika mata kritikal memerangkap Pang Ron-Su Yin yang terpaksa menyerahkan kemenangan kepada Rinov-Lisa Ayu 19-21 dalam masa 63 minit permainan.
Keputusan tersebut bagaimanapun tetap membanggakan buat pasangan tuan rumah setelah terkandas pada pusingan pertama Terbuka Malaysia dan India baru-baru ini.