Skuad hoki lelaki negara, Speedy Tigers, gagal mara ke final Piala Asia 2025 selepas tewas 3-4 kepada Korea Selatan dalam aksi dramatik Super 4 di India. – Foto: Malaysian Hockey Confederation
HARAPAN skuad hoki lelaki negara untuk mara ke pentas akhir Piala Asia 2025 lebur selepas tunduk 3-4 kepada Korea Selatan dalam aksi penuh dramatik saingan Super 4 di Stadium Hoki Rajgir, India pada Sabtu.
Speedy Tigers bermula cemerlang apabila kapten pasukan, Mohd Fitri Saari meledak gol padang pada minit kesembilan untuk memberikan kelebihan awal.
Namun, Korea yang sebelum ini tewas 1-4 kepada Malaysia dalam aksi peringkat kumpulan, bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Kim Hyeonhong pada minit ke-24.
Anak buah Sarjit Singh kembali di depan hasil jaringan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-29 sebelum Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menambah gol ketiga dua minit berselang juga melalui pukulan sudut penalti.
Begitupun, Korea tidak mengalah apabila Oh Seyong merapatkan jurang pada minit ke-44 sebelum Lee Jungjun menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
Hyeonhong akhirnya muncul wira pasukan lawan apabila meledak gol keduanya pada minit ke-51, sekali gus memastikan kemenangan Korea Selatan dan menafikan peluang Malaysia ke pentas final.