Import baharu julang JDT tewaskan Central Coast Mariners

Import baharu julang JDT tewaskan Central Coast Mariners


Permulaan cemerlang Gonzalez bersama JDT apabila meledak dua gol ketika menentang Central Coast Mariners. Foto JDT

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya menundukkan pasukan dari Australia, Central Coast Mariners 2-1 dalam aksi Kumpulan A, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Central Coast, New South Wales pada Selasa.

Kemenangan itu sekali gus mencerahkan peluang JDT berada dalam kelompok lapan terbaik kumpulan untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

JDT yang menurunkan ketiga-tiga import baharu dari Sepanyol iaitu Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez dan Roque Mesa bermula dengan baik apabila berjaya mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama.

Namun, pasukan tuan rumah yang menampilkan corak disiplin permainan bertahan berjaya menyerap asakan berterusan JDT menyaksikan skuad kendalian Hector Bidaglio itu buntu menembusi gawang Central Coast Mariners.

Malah, JDT turut kehilangan pemain import baharu mereka, Mesa yang mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan dengan Afiq Fazail pada minit ke-25.

Pada penghujung separuh masa pertama, Central Coast Mariners terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas penjaga gol Dylan Peraic-Cullen dilayangkan kad merah kerana mengasari Arif Aiman Hanapi.

Selepas itu, JDT berpeluang untuk berada di depan menerusi penyerang berbisa mereka, Bergson da Silva namun jaringannya dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Bersambung separuh masa kedua, JDT terpaksa sekali lagi berdepan corak pertahanan kental Central Coast Mariners dengan peluang awal tiba melalui percubaan jarak jauh Heberty Fernandes pada minit ke-48 yang tersasar.

Penjaga gol gantian Central Coast Mariners, Adam Pavlesic juga bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Bergson yang menerima hantaran Arif Aiman pada minit ke-50.

Gol yang dicari JDT akhirnya tiba jua melalui Gonzalez yang menyempurnakan hantaran Arif Aiman pada minit ke-64.

Namun, gol tersebut hanya bertahan selama enam minit apabila tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Alou Kuol berpunca daripada sepakan percuma.

Bagaimanapun, Gonzalez memastikan penampilan pertamanya penuh gemilang apabila meledak gol kemenangan yang juga gol kedua peribadinya selepas bijak menanduk masuk hantaran Heberty Fernandes pada minit ke-79 sekali gus memastikan tiga mata berharga kepada Harimau Selatan.

JDT ketika ini berada di kedudukan kelima Kumpulan A dan akan mengakhiri saingan kumpulan menentang pasukan dari Korea Selatan, Pohan Steelers pada Selasa depan di Stadium Sultan Ibrahim.



Source link

OR

Scroll to Top