IMRAN PTPTN terus diadakan di 5 negeri

IMRAN PTPTN terus diadakan di 5 negeri


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan lagi tradisinya berkongsi rezeki bersama warga institusi pendidikan serta komuniti setempat menerusi Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) 2025 di lima negeri.

Program itu bertujuan untuk menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan dengan saling bantu membantu dan berkongsi rezeki serta menjalinkan hubungan positif di antara PTPTN, institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pelajar.

PTPTN meneruskan lagi program IMRAN yang dilaksanakan di Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Sabah pada 11 Mac lalu.

Program berkonsepkan gotong-royong antara kakitangan PTPTN, kakitangan IPT, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pelajar dalam penyediaan bubur lambuk untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat.

Program yang diadakan di Pusat Islam PKK itu bermula seawal jam 8 pagi dengan gotong-royong menyediakan bahan masakan seperti memotong bawang, cili, tomato, timun, nanas diikuti memasak dan seterusnya membuat pembungkusan yang membabitkan 500 bungkus nasi minyak.

Program tersebut membabitkan seramai 126 petugas meliputi pelajar dan kakitangan PKK serta kakitangan PTPTN.

Majlis telah dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Puan Husna Abdul Rahaman, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Md Nor Abdul Halim dan Pengurus Besar Kanan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Jabatan Perbendaharaan, Ainudin Ramdan Ab Rashid; Timbalan Pengarah Akademik, Abdul Razak Mohd Daim; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Muhammaddin Mohd Jair dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Sabah, Muliati Kamaruddin.

Pada 15 Mac lalu pula, program itu diteruskan lagi di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWP Labuan), Kampung Lubok, Labuan.

Pada program itu kakitangan PTPTN, guru dan anggota sokongan SMA MAIWP Labuan, ibu bapa dan pelajar bergotong-royong menyediakan bubur manis untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat memberi kelainan kepada negeri tersebut.

1,000 bungkus bubur manis

Penyediaan bubur manis menjadi salah satu keunikan yang disediakan sempena Program IMRAN di Labuan.

Program bermula jam 9 pagi dengan gotong-royong menyediakan bahan bubur manis seperti mencuci dan merendam kacang hijau, sagu, jagung, menyimpul daun pandan, penyediaan bahan-bahan lain seperti santan, gula merah dan seterusnya aktivti memasak serta aktivti pembungkusan yang membabitkan 1,000 bungkus bubur manis.

Program berkenaan membabitkan 64 petugas meliputi guru dan anggota sokongan SMA, pelajar dan ibu bapa yang juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMA serta kakitangan PTPTN.

Bubur manis diedarkan oleh Pengetua SMA MAIWP Labuan, Siti Aminah Zakaria, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Sabah, Muliati Kamaruddin dan Yang Dipertua PIBG SMA MAIWP Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab Manan.

Pengagihan bubur manis itu diadakan di tiga lokasi iaitu sebanyak 200 bungkus diagihkan kepada warga pendidik SMA MAIWP Labuan, ibu bapa dan pelajar SMA MAIWP Labuan.

Lokasi kedua agihan sebanyak 600 bungkus di Kolej Matrikulasi Labuan dan serahan dibuat kepada Pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan, Ustaz Syahmun Yahaya, serta pelajar.

Seterusnya serahan dibuat sebanyak 200 bungkus kepada penduduk kampung Lubok Temiang dan orang ramai yang melalui Jalan lubok Temiang diserahkan secara pandu lalu di hadapan Masjid Al-Muzakirullah bersama Pengerusi Masjid Jakiah Awang dan Timbalan pengerusi Masjid, Mohd Azlie Nasir.

Program IMRAN dimeriahkan lagi pada 17 Mac lalu di Universiti Malaysia Pahang AL-Sultan Abdullah (UMPSA).

Program itu diadakan di perkarangan Masjid Al-Jazari UMPSA bermula jam 9 pagi dengan gotong-royong memotong bawang dan lain-lain bahan, memasak dan pembungkusan membabitkan penyediaan 1,000 bungkus bubur lambuk.

Program berkenaan membabitkan 50 petugas melibatkan pelajar dan kakitangan UMPSA serta kakitangan PTPTN.

Abdul Razak mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai melalui pintu keluar UMPSA.

Agihan bubur lambuk bermula jam 4.30 petang yang dihadiri oleh Pengerusi UMPSA, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Naib Canselor UMPSA, Professor Dr Yatimah Alias; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pahang, Sapiza Ajuhari.

Ahmad Dasuki turut menyempurnakan serahan bubur kepada petugas kakitangan PTPTN Negeri Pahang untuk di agihkan ke masjid dan surau sekitar bandar Kuantan.

Masjid terbabit termasuk Masjid Al-Makmur, Indera Mahkota, Surau Al- Muttakim, Indera Mahkota , Masjid Indera Sempurna dan Surau BATAS, Sungai Karang Pantai Kuantan.

Pada tarikh sama, IMRAN turut diadakan di Politeknik Metro Johor Bahru, Johor dan Politeknik Mukah Sarawak.

Kakitangan PTPTN dan Politeknik Metro, Johor membantu menyediakan nasi minyak untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat.

Di Politeknik Metro diadakan gotong-royong menyediakan nasi minyak yang dinikmati oleh 500 pelajar, masyarakat setempat serta pengurusan Politeknik berkenaan.

Antara pelajar Politeknik Mukah yang turut sama bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa sempena Program IMRAN di Sarawak.

Manakala di Politeknik Mukah pula penyediaan nasi beriani ayam diadakan secara bergotong-royong untuk dinikmati oleh 500 pelajar.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top