DALAM keriangan menyambut Aidilfitri, amalan memberi dan menerima duit raya telah menjadi satu budaya yang cukup sinonim dengan masyarakat Islam di negara ini.
Namun begitu, budaya itu bukan sekadar tradisi semata-mata, bahkan ia membawa nilai ibadah jika dilakukan dengan adab dan niat yang betul.
Boleh dikatakan sepanjang bulan Syawal, amalan memberi duit raya kepada ibu bapa, sanak saudara serta anak-anak kecil sering dilakukan dengan niat untuk menggembirakan hati mereka.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook pada Selasa, Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjelaskan, amalan itu termasuk dalam perbuatan bersedekah yang amat digalakkan dalam Islam.
“Pun demikian, terdapat adab dalam memberi dan menerima duit raya yang mesti dijaga agar keberkatan dan kemanisan Aidilfitri dapat dirasai bersama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Facebook jabatan mufti itu.
WALAUPUN duit raya diberikan kecil nilainya, tetapi jika disertai dengan niat yang ikhlas untuk menggembirakan hati orang lain, maka ia adalah satu sedekah yang besar nilainya di sisi ALLAH SWT. -Foto: CANVA
Antara adab yang digariskan agar budaya memberi dan menerima itu kekal indah serta bermakna buat semua adalah seperti berikut:
1. Jangan meminta.
Menerima sesuatu dengan hati yang terbuka merupakan satu akhlak yang mulia. Sebaliknya, meminta atau memaksa orang lain untuk memberi adalah perbuatan yang bertentangan dengan adab Islam.
Biarlah pemberian itu lahir daripada keikhlasan si pemberi, bukan kerana ada desakan atau permintaan daripada si penerima.
2. Usah menunjuk.
Dalam kalangan kanak-kanak mahupun remaja, sering kali wujud kecenderungan untuk membanding-bandingkan jumlah duit raya yang diterima.
Menurut Jabatan Mufti Negeri Sembilan, sikap sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak selesa dan iri hati dalam kalangan rakan atau saudara-mara.
Sedangkan, Islam mengajar umatnya untuk bersederhana dalam segala hal. Justeru, menghebahkan jumlah duit raya yang diterima bukanlah sesuatu yang berfaedah, bahkan boleh mencetuskan perasaan sombong atau kecewa. Sebaliknya, setiap pemberian perlu dihargai tanpa perlu dibanding-bandingkan.
3. Beri dengan niat menggembirakan.
Niat memainkan peranan utama dalam menentukan keberkatan sesuatu amalan.
Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengingatkan bahawa pemberian duit raya walaupun kecil nilainya, jika disertai dengan niat yang ikhlas untuk menggembirakan hati orang lain, maka ia adalah satu sedekah yang besar nilainya di sisi ALLAH SWT.

AMALAN pemberian duit raya termasuk dalam perbuatan bersedekah yang amat digalakkan dalam Islam. -Foto: CANVA
4. Ucap terima kasih.
Kepada penerima pula, ucapkanlah terima kasih yang diiringi dengan senyuman dan penuh hormat. Ia adalah lambang penghargaan terhadap pemberian tersebut.
Lebih manis jika penerima menunjukkan rasa hormat dan tidak membuka sampul duit raya di hadapan si pemberi.
Perbuatan itu, kata Jabatan Mufti Negeri Sembilan, ia bukan sahaja menunjukkan rasa hormat, malah mencerminkan kehalusan budi dan kesopanan yang sangat ditekankan dalam Islam.
Ingatlah bahawa setiap pemberian, tidak kira kecil atau besar, adalah rezeki daripada ALLAH SWT yang wajar disyukuri.
5. Tak perlu nilai yang sama.
Tidak semua orang mempunyai kemampuan kewangan yang sama. Maka, membandingkan jumlah duit raya yang diberi atau diterima adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Jabatan Mufti Negeri Sembilan menasihatkan agar keikhlasan dijadikan asas dalam setiap pemberian, bukan nilai di dalam sampul semata-mata.
Sama-samalah kita mengamalkan adab-adab itu agar keindahan memberi dan kemanisan menerima duit raya tersebut benar-benar dirasai, di samping menyulam pahala dengan ibadah bersedekah.