PETALING JAYA: Pasukan hoki remaja wanita kebangsaan menjadi mangsa amukan juara bertahan, India setelah dibelasah 5-0 pada aksi kedua kumpulan A Piala Remaja Asia Wanita 2024, di Muscat, Oman, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Oman itu, Young Tigress bermula baik pada babak pertama apabila kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan.
Separuh masa kedua menyaksikan India mengubah percaturan permainan mereka apabila menyempurnakan pukulan penalti sudut menerusi Vaishnavi Vitthal Phalke pada minit ke-32.
Selang lima minit kemudian, Young Tigress menerima serangan bertubi-tubi apabila pasukan No. 8 dunia itu meledak tiga jaringan berturut-turut menerusi Siwach Kanika dan dua gol dari Deepika.
Deepika berjaya meledak hatriknya menerusi penalti pukulan sudut pada minit ke-48 dan keputusan kekal 5-0 sehingga wisel penamat.
Terdahulu, Malaysia membuka kempen Piala Remaja Asia Wanita 2024 dengan bergaya apabila membenam Thailand 3-0 pada Sabtu.
Pasukan bimbingan Lailin Abu Hassan seterusnya dijadualkan akan menentang Bangladesh pada aksi ketiga kumpulan A, Rabu ini pada pukul 8.45 malam. – UTUSAN