New Delhi: India menyekat semua import dari Pakistan, dalam satu lagi tindakan tegas susulan ketegangan akibat serangan pengganas di Pahalgam, wilayah Jammu dan Kashmir, 22 April lalu.
Kerajaan berkata, keputusan diambil demi kepentingan keselamatan negara dan dasar awam, serta menekankan larangan itu turut terpakai kepada semua produk dalam transit dari Pakistan.
Pemberitahuan dimaklum Kementerian Perdagangan yang menambah klausa larangan pada Dasar Perdagangan Luar Negeri 2023.
“Import atau transit langsung atau tidak langsung semua barang yang berasal dari atau dieksport dari Pakistan, sama ada boleh diimport secara bebas atau sebaliknya hendaklah dilarang berkuat kuasa serta-merta, sehingga perintah selanjutnya.
“Sekatan ini dikenakan demi kepentingan keselamatan negara dan dasar awam. Sebarang pengecualian kepada larangan ini memerlukan kelulusan Kerajaan India terlebih dahulu,” tambah pemberitahuan itu.
Lintasan Wagah-Attari, satu-satunya laluan perdagangan antara India dan Pakistan sudah pun ditutup selepas serangan Pahalgam.
Import dari Pakistan terutamanya produk farmaseutikal, buah-buahan dan bijian ‘oilseed’. Ia merosot sejak beberapa tahun selepas serangan Pulwama 2019, dengan India mengenakan duti 200 peratus ke atas produk buatan Pakistan dan menarik balik status perdagangan ‘Negara Paling Digemari’.
Daripada 2.4 bilion pada tahun 2017/18 dan $2.3 bilion pada 2016/17, perdagangan dua hala merosot kepada hanya $647 juta pada 2023/24.
Pada 2024 hingga Januari lalu, eksport India ke Pakistan berjumlah $447.65 juta, manakala import hanya $0.42 juta.
Sebelum itu, India menggantung Perjanjian Perairan Indus, perjanjian perkongsian air penting yang ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 1960 dengan menekankan alasan, “keganasan rentas sempadan yang berterusan”.
India juga didakwa boleh boleh mengalihkan atau menghentikan air dalam sistem Sungai Indus daripada mengalir ke Pakistan sekali gus melumpuhkan bekalan air negara itu dan menjejaskan puluhan juta rakyat,
Ketika ini, semua visa warga Pakistan sudah dibatalkan dan mereka yang tinggal di India diberi tempoh untuk meninggalkan negara itu, termasuk visa perubatan.
Pakistan, sebagai tindak balas mengancam untuk menggantung semua pakatan dua hala dengan India, termasuk perjanjian Simla. Kedua-dua negara juga telah mengurangkan hubungan diplomatik.
© New Straits Times Press (M) Bhd