Pemain Indonesia meraikan jaringan ketika berdepan Arab Saudi di Stadium Gelora Bung Karno. Foto AFP
INDONESIA mencipta kejutan menumbangkan Arab Saudi 2-0 dalam aksi Kumpulan C Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, pada Selasa.
Kejayaan itu menyaksikan skuad Garuda meraih kemenangan pertama dalam kempen kelayakan itu selain turut melonjak daripada kedudukan tercorot ke kedudukan ketiga kumpulan C.
Dalam aksi tersebut, Arab Saudi yang berada di ranking ke-59 dunia menguasai keseluruhan perlawanan namun terpaksa akur dengan ketajaman serangan Indonesia yang memanfaatkan peluang jaringan.
Dua gol tuan rumah dijaringkan oleh Marselino Ferdinand pada minit ke-32 dan ke-57 untuk kemenangan bergaya skuad kendalian Shin Tae-yong itu.
Indonesia telah meraih enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan berkongsi jumlah mata yang sama dengan Arab Saudi serta China di kedudukan keempat dan kelima.
Jepun terus unggul di kedudukan teratas kumpulan dengan 16 mata, manakala Australia di kedudukan kedua dengan enam mata dan kekurangan satu perlawanan.
Bahrain pula berada di kedudukan tercorot dengan lima mata dan turut mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Selepas ini, Indonesia dijadualkan berdepan Australia manakala Arab Saudi akan berdepan China pada Mac tahun depan dengan aksi kelayakan masih berbaki empat perlawanan.
Untuk rekod, hanya dua pasukan di kedudukan teratas akan mara ke Piala Dunia 2026 di Amerika Utara, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan menempuh satu lagi pusingan kelayakan.