Indonesia cipta sejarah layak ke Piala Dunia

Indonesia cipta sejarah layak ke Piala Dunia


Indonesia mengesahkan tiket ke Piala Dunia B-17 selepas menewaskan Yemen. Foto Facebook TIMNAS INDONESIA

PASUKAN Bawah 17 Tahun (B-17) Indonesia mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia B-17 2025 selepas mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Yemen dalam aksi kedua peringkat kumpulan C saingan Piala Asia B-17 di Stadium Prince Abdullah Al Faisal Sports City pada Isnin.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad kendalian Nova Arianto itu mengumpul enam mata maksimum hasil dua kemenangan berturut-turut, sekali gus meletakkan mereka selaku pendahulu kumpulan buat masa ini.

Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang anak buah Nova yang melayakkan diri ke suku akhir Piala Asia B-17 dan secara automatik meraih slot ke Piala Dunia B-17 2025 di Qatar.

“Saya ucapkan tahniah. Kemenangan menentang Yaman dalam perlawanan kedua ini memastikan Indonesia mara ke suku akhir Piala Asia B-17 dan sekali gus lolos ke Piala Dunia B-17 2025.

“Namun, perjuangan masih belum berakhir. Pemain dan pasukan kejurulatihan perlu terus kekal fokus bagi menghadapi baki saingan dan mencipta pencapaian terbaik dalam kejohanan ini,” katanya.

Dalam aksi menentang Yemen, Indonesia menurunkan barisan kesebelasan utama yang sama ketika menewaskan Korea Selatan sebelum ini.

Mereka berjaya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Muhamad Zahaby Gholy pada minit ke-15 dan Fadly Alberto pada minit ke-26.

Yemen cuba bangkit pada babak kedua menerusi sepakan penalti Mohammed Al Garash pada minit ke-48, namun skuad Garuda Muda kembali mengukuhkan kedudukan apabila Evandra Floresta meledak dua gol penalti pada minit ke-87 dan 89 hasil umpanan Josh Holong Junior.

Dalam pada itu, Erick turut mengingatkan agar semua pemain mengekalkan kecergasan fizikal dan kekuatan mental untuk mengharungi perlawanan yang masih berbaki, sambil menyifatkan sokongan pelbagai pihak menjadi faktor kejayaan pasukan setakat ini.

“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama semua pihak. Terima kasih kepada jurulatih Nova, semua pegawai dan pemain, ibu bapa pemain, penyokong, organisasi PSSI di seluruh pelosok Indonesia, serta kerajaan di bawah pimpinan Presiden Prabowo Subianto atas sokongan yang luar biasa,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top