INDONESIA perlu memulihkan semula reputasi bola sepak antarabangsa negara itu selepas dua insiden yang menjejaskan imejnya sebelum melantik jurulatih kebangsaan baharu, kata Pengerusi Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.
Beliau berkata, insiden pertama melibatkan penamatan awal kontrak jurulatih dari Belanda, Patrick Kluivert dan barisan kejurulatihannya, yang mengundang kritikan dalam talian susulan kegagalan skuad kebangsaan pada pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini.
Insiden kedua pula melibatkan laporan palsu media tempatan yang mendakwa Jepun, Korea Selatan dan Iraq menarik diri daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai.
“Ia bukan perkara mudah dan kita tidak boleh tergesa-gesa melantik jurulatih baharu dalam keadaan ini.
“Saya perlu menjelaskan kepada komuniti bola sepak antarabangsa tentang apa yang berlaku dan berusaha memulihkan kembali kepercayaan mereka,” kata Erick kepada pemberita di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta Pusat pada Jumaat.
Beliau berkata, laporan palsu itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota AFC yang turut menyoal delegasi Indonesia yang diketuai Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi semasa Anugerah AFC di Riyadh minggu lalu.
“Media AFC memantau rapat laporan dari Indonesia,” kata Yunus sambil menambah bahawa delegasinya ditekan oleh anggota AFC dan wartawan mengenai kesahihan laporan berkenaan, dengan ramai yang terkejut serta mempersoalkan sumbernya.
Erick berkata, kedua-dua insiden itu menunjukkan bahawa reputasi sesebuah negara bola sepak bergantung bukan sahaja pada keputusan di padang, tetapi juga pada integriti dan komunikasi.
“Ini pengajaran untuk kita semua. Kepercayaan antarabangsa perlu dibina semula secara berperingkat,” katanya.
Berhubung pencarian jurulatih baharu, beliau menegaskan bahawa keputusan itu perlu dibuat secara berhati-hati supaya tidak memberi kesan negatif terhadap pembangunan bola sepak negara.
Erick turut mengalu-alukan pandangan penyokong, namun menasihatkan mereka agar tidak menyebarkan spekulasi, termasuk mengaitkan nama jurulatih Belanda, Louis van Gaal yang kini menjadi penasihat kepada kelab Ajax Amsterdam, antara kelab terkemuka dalam Liga Eredivisie Belanda. – Bernama
Ringkasan AI
- INDONESIA perlu memulihkan semula reputasi bola sepak antarabangsa negara itu selepas dua insiden yang menjejaskan imejnya
- Insiden pertama adalah penamatan awal kontrak jurulatih Belanda, Patrick Kluivert
- Insiden kedua adalah laporan palsu media tempatan mengenai Jepun, Korea Selatan dan Iraq menarik diri daripada AFC
- Erick Thohir, Pengerusi PSSI, menyatakan perlunya memulihkan kepercayaan komuniti bola sepak antarabangsa
- Pencarian jurulatih baharu perlu dibuat secara berhati-hati untuk tidak merosakkan pembangunan bola sepak Indonesia






