Jakarta: Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen untuk menyelesaikan isu sempadan dua hala yang masih tertangguh, serta mengalu-alukan kemajuan dalam usaha penetapan sempadan darat dan maritim.
Kedua-dua pemimpin turut berikrar untuk meneruskan kerjasama bagi memuktamadkan perkara-perkara yang belum diselesaikan.
Dalam kenyataan bersama susulan Rundingan Tahunan ke-13 yang berlangsung di Jakarta pada Selasa, mereka mengarahkan agensi berkaitan mengekalkan momentum dalam menangani kawasan belum dimuktamadkan, termasuk Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi, di samping menekankan kepentingan memperkukuh kesalinghubungan di perbatasan dan perdagangan rentas sempadan.
“Malaysia berpendirian bahawa baki sempadan darat di Sektor Timur, khususnya kawasan antara pasang surut di pantai timur Pulau Sebatik, perlu diselesaikan,” menurut kenyataan bersama itu.
Prabowo dan Anwar juga mengarahkan Jawatankuasa Sempadan Indonesia-Malaysia meneruskan rundingan berhubung masalah sempadan tertangguh (OBP) di Sektor Barat (Kalimantan Barat-Sarawak).
Kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia pada Rabu menyebut kedua-dua pemimpin menegaskan “tekad mereka untuk menyelesaikan isu sempadan di kawasan antara pasang surut serta jurang dari garis air surut ke Titik M di Laut Sulawesi.”
Mereka turut berpuas hati dengan kemajuan positif dalam isu penandaan sempadan darat, khususnya pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Penandaan dan Ukur Sempadan Antarabangsa bagi OBP semasa Mesyuarat ke-45 Jawatankuasa Sempadan Bersama Indonesia-Malaysia di Jakarta pada 17 dan 18 Februari lalu.
Selepas lebih 45 tahun rundingan, dan dengan termeterainya MoU berkenaan, OBP sempadan darat di Sektor Timur (Kalimantan Utara-Sabah) dipersetujui sepenuhnya oleh kedua-dua negara.
Prabowo dan Anwar turut mengalu-alukan rancangan Kerajaan Malaysia untuk membuka Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin di kawasan sempadan, khususnya antara Sarawak dan Kalimantan Barat, selaras dengan Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Jagoi Babang di pihak Indonesia yang sudah beroperasi.
“Pembukaan ICQS Serikin akan memperluas akses perdagangan rentas sempadan, terutamanya bagi komoditi pertanian strategik seperti beras dan jagung bijian.
“Langkah konkrit ini dijangka memberi kesan positif terhadap kesejahteraan komuniti di kedua-dua belah sempadan serta menggalakkan pengukuhan hubungan ekonomi menyeluruh antara Indonesia dan Malaysia,” kata kedua-dua pemimpin.
Mereka turut memperbaharui komitmen untuk memastikan pematuhan oleh agensi penguat kuasa undang-undang masing-masing terhadap MoU Panduan Bersama mengenai Layanan Terhadap Nelayan oleh agensi penguat kuasa maritim yang dipersetujui pada 2012.
“Kedua-dua pihak menyeru kerjasama yang lebih erat serta saluran komunikasi yang berterusan terbuka antara pihak berkuasa masing-masing demi menjamin keselamatan dan melindungi mata pencarian nelayan kedua-dua negara,” kata mereka sambil menyatakan harapan agar “11th Review Meeting” dapat diadakan pada 2025 dan Indonesia menjadi tuan rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd