July 19, 2024

Indonesia siasat dakwaan 1,000 anggota Dewan Rakyat terlibat judi dalam talian

Indonesia siasat dakwaan 1,000 anggota Dewan Rakyat terlibat judi dalam talian


JAKARTA – Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan melibatkan lebih 1,000 anggota DPR, Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) dan sekretariat agung masing-masing atas dakwaan penglibatan mereka dalam aktiviti judi dalam talian.

Pengerusi Suruhanjaya III, Bambang Wuryanto, menyatakan semasa sesi di kompleks Parlimen di sini, pada Rabu bahawa Majlis Etika mungkin mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terlibat.

“Selepas menamatkan siasatan, dapatan itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya III. Majlis Etika mempunyai kuasa untuk memanggil individu yang dinamakan dalam laporan itu,” katanya.

Menurut Bambang, siasatan itu didorong oleh laporan daripada Pusat Laporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) yang menekankan keperluan untuk ketelusan dan akauntabiliti dalam barisan kerajaan.

Ketua PPATK, Ivan Yustiavandana, menyatakan bahawa pusat itu bersedia untuk menyediakan data terperinci kepada penggubal undang-undang, khususnya Majlis Etika, mengenai transaksi bernilai 25 bilion rupiah atau kira-kira US$1.74 juta.

Beliau juga mendedahkan semasa mesyuarat bahawa transaksi kewangan yang dikaitkan dengan judi dalam talian di republik itu telah mencecah 101 trilion rupiah atau US$7.04 bilion pada suku pertama tahun 2024.

Timbalan pengerusi Suruhanjaya III, Habiburokhman menekankan implikasi sosial dan undang-undang, menyebut kemungkinan tuduhan jenayah di bawah undang-undang Indonesia bagi peserta dalam judi dalam talian.

Beliau berkata, DPR sedang mempertimbangkan langkah pencegahan dan hukuman untuk menangani isu itu sambil mengakui peranan kritikal PPATK dalam perisikan kewangan.

Kerajaan Indonesia sedang mempergiatkan usaha untuk menangani isu judi dalam talian yang semakin membimbangkan, melantik Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Hadi Tjahjanto untuk mengetuai pasukan petugas yang menangani masalah berkenaan.

Judi adalah dilarang sama sekali di bawah Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik di Indonesia.

Pengedar atau fasilitator judi dalam talian boleh dipenjara sehingga enam tahun dan didenda satu bilion rupiah, kira-kira US$69,000.

Individu yang ditahan menyertai aktiviti itu boleh dihukum penjara maksimum empat tahun atau didenda sehingga 10 juta rupiah, kira-kira US$690, di bawah Kanun Keseksaan. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top