Jakarta: Indonesia menawarkan untuk memudah cara dialog antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran susulan kegagalan rundingan yang membawa kepada peningkatan ketenteraan di Timur Tengah.
Kementerian Luar Indonesia dalam satu hantaran di platform media sosial rasminya pada Sabtu memaklumkan ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah berpotensi mengganggu kestabilan serantau serta keamanan dan keselamatan dunia.
“Kerajaan Indonesia, khususnya Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan kesediaan beliau untuk memudah cara dialog bagi mewujudkan semula keadaan keselamatan yang kondusif dan sekiranya dipersetujui oleh kedua-dua pihak, Presiden Indonesia bersedia berkunjung ke Tehran untuk melaksanakan pengantaraan,” menurut kementerian itu.
Ketegangan di Timur Tengah meningkat secara mendadak apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, dengan Israel menyifatkannya sebagai “serangan awal” terhadap musuh ketatnya bagi menghapuskan ancaman.
Serangan itu menyusul selepas peningkatan ketara kehadiran ketenteraan AS di rantau berkenaan yang bertujuan memberi tekanan kepada Tehran berhubung program nuklearnya, serta protes besar-besaran yang berlaku baru-baru ini.
Indonesia menyatakan kekesalan yang mendalam terhadap kegagalan rundingan itu dan menggesa semua pihak supaya menahan diri semaksimum mungkin dengan mengutamakan dialog dan diplomasi dalam menyelesaikan perbezaan.
“Indonesia sekali lagi menegaskan kepentingan menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah setiap negara serta menyelesaikan perbezaan melalui cara yang aman,” menurut Kementerian Luar.
Kementerian itu turut menasihatkan rakyat Indonesia di kawasan terjejas supaya bertenang dan berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta sentiasa berhubung rapat dengan Kedutaan Indonesia yang berdekatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






