Jakarta: Indonesia mencipta sensasi dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila mengatasi Arab Saudi 2-0 di Stadium Gelora Bung Karno sebentar tadi.
Sang Garuda yang berada di bawah kendalian Shin Tae Yong itu kini mengumpul enam mata selain turut melonjak ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan C.
Marselino Ferdinan muncul wira buat Indonesia apabila meledak dua gol yang membantu Sang Garuda meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen kali ini.
Marselino membuka tirai jaringan pada minit ke-32 selepas menerima umpanan Ragnar Oratmangoen sebelum sekali lagi merobek gawang pelawat pada babak kedua.
Pemain berusia 20 tahun itu menemui jaringan kedua peribadinya pada minit ke-57 dengan Arab Saudi jelas semakin tertekan untuk terus cuba memecahkan kebuntuan jaringan mereka.
Pada minit ke-89, skuad tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Justin Hubner dilayangkan kad merah dan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd