am@hmetro.com.my
Jitra: “Pada mulanya saya sangkakan tiga lelaki yang melarikan diri kerana bimbang kereta meletup, rupanya adalah penjenayah,” kata Mohd Shaiful Hafiq Mohd Hadir, 33.
Mohd Shaiful Hafiq adalah peniaga yang menyaksikan kemalangan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang melanggar Perodua Myvi di hadapan kedai makan dekat Klinik Kesihatan Kepala Batas, di sini petang hari ini.
Menurutnya, dentuman itu sangat kuat sehingga mengejutkan orang ramai dan ketika itulah dia melihat tiga lelaki cuba keluar dari kenderaan terbabit.
Katanya, dia kemudian terdengar suara meminta tolong dari dalam kenderaan itu dan mendapati terdapat seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an berada di tempat duduk hadapan.
“Warga emas itu kata tolong saya, mereka rompak saya dan sebaik mengetahui mereka sebenarnya penjenayah, saya dan orang ramai terus mengejar suspek dan berjaya menahan seorang daripada mereka,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Tarmizi Che Ismail, 29, berkata, dia berjaya menahan suspek berusia sekitar 20-an dengan bantuan orang ramai sejauh kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Katanya, suspek lelaki itu ada memberitahu dia pening dan seperti mahu pengsan sebelum meminta air minuman.
“Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Menurutnya, wanita warga emas dibawa keluar dari SUV dan ditempatkan di kedai makan miliknya buat sementara.
Katanya, warga emas itu kelihatan sangat takut dan menggeletar serta mengadu sakit bahagian pinggang.
“Wanita warga emas itu beritahu dia tidak boleh berjalan kerana menggunakan kerusi roda.
“Dia juga sempat beritahu yang penjenayah itu menolak keluar suaminya sebelum melarikan kenderaan di kawasan Pejabat Tabung Haji dekat sebuah hotel di Titi Gajah, Alor Setar sehinggalah terbabit dalam kemalangan di situ,” katanya.
Berita berkaitan:
‘Kami hilang rakan sangat baik’ – Rakan Koperal Mohd Hafizul
Koperal polis maut dirempuh suspek pecah rumah
© New Straits Times Press (M) Bhd