mohamadridzuan@hmetro.com.my
Diam tak diam sudah lima tahun Siti Khadijah Halim, 27, terbabit dalam lakonan. Sepanjang tempoh ini dia sudah membintangi banyak drama dengan pelbagai watak berbeza.
Bagaimanapun, Siti Khadijah yang juga seorang model tidak pernah memikirkan mengenai populariti yang dikecapi hasil usahanya ini.
“Sejujurnya saya tak pernah fikir pun pasal ini sebab saya anggap ini kerjaya dan pekerjaan saya. Cuma bezanya dengan pekerjaan orang lain, kerja saya ini keluar dekat TV dan pawagam.
“Jadi, kalau orang kenal saya dengan hasil kerja saya, kira bonuslah. Saya mula berlakon pada usia 20 tahun. Sama macam pelakon lain, saya lalui juga fasa-fasa jadi pelakon tambahan dan selepas itu watak kedua selepas heroin.
“Kemudian baru diberikan watak utama. Jadi, sebenarnya tiada jalan pintas pun. Saya memang melalui fasa fasa itu dan saya bersyukur sebab saya dapat belajar. Bukanlah masuk-masuk berlakon terus dapat watak utama,” katanya.
Biarpun bekerja di depan kamera, pelakon siri drama From Saga With Love musim pertama dan kedua ini tetap mengambil perhatian terhadap bidang kerja pengarah, penolong pengarah serta kru lain.
“Saya perhatikan kerja mereka walaupun saya tak buat peranan itu kerana niat saya nak belajar juga. Ini sedikit sebanyak mematangkan saya dan membantu saya menghayati watak dengan berkesan.
“Syukur saya diberikan tanggungjawab bawa watak utama antaranya menerusi drama Wanita Syurga, Aish Dan Ash Hantu Tenggek dan banyak lagi. Alhamdulillah, rezeki orang panggil.
“Sebenarnya, saya rasa masih banyak lagi ilmu dan pengalaman yang saya perlu belajar dan lalui dalam dunia lakonan ini kalau nak dibandingkan dengan kawan-kawan senior saya,” katanya.
Menurutnya, mereka semua memang bagus serta berbakat dan dia sering menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi untuk berjaya dan bagus seperti mereka.
“Saya juga kena pelbagaikan watak lakonan. Saya nak sangat berlakon cerita genre aksi sebab saya sebenarnya seorang penakut, lembik sikit. Jadi saya nak jadi kuat.
“Saya nak buat itu. Contohnya saya nak tunggang motosikal sampai terbalik. Saya nak macam itu. Saya nak ada aksi lagak ngeri tapi kita kena pastikan aksi itu semua ada aspek keselamatan.
“Saya sangat mengimpikan buat benda di luar daripada kemampuan saya sendiri,” katanya penuh harapan.
Mengulas berkenaan persaingan daripada pelakon baru, baginya istilah itu tidak pernah wujud dalam hidupnya. Malah dia mengalu-alukan kehadiran mereka dalam industri.
“Bagi saya sangat bagus sebab nanti ada lagi ramai pelapis baru dalam dunia hiburan untuk mewarnai industri. Seperti saya cakap, untuk kekal diterima, saya akan terus belajar dan menimba ilmu pengalaman sebanyak mungkin.
“Saya pastikan akan buat yang terbaik. Selebihnya saya biarkan Allah tentukan rezeki saya. Apa yang saya ada ini pun dah cukup bagi saya. Saya bersyukur sangat,” katanya.
Siti Khadijah tidak berselindung mengakui mahu mengharumkan nama Malaysia menerusi lakonan.
“Mungkin saya boleh berlakon luar negara ke, dapat mainkan watak yang ‘best’ ke dalam cerita Marvel? Contohnya bekerja di Hollywood,
“Atau bekerja di Jepun ataupun Thailand. Saya tak tahu tapi saya nak cuba sesuatu yang baru dan sentiasa perbaiki kerjaya saya tentunya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd