'Ini baru permulaan, kami masih belum puas' – Hevel

'Ini baru permulaan, kami masih belum puas' – Hevel


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Arkitek tengah Harimau Malaya, Hector Hevel mengingatkan perjalanan pasukan negara baharu bermula dan kejayaan membelasah Vietnam 4-0 bukanlah penamat dalam misi memburu tiket ke Piala Asia 2027.

Hevel, 29, yang beraksi cukup ampuh dalam menggerakkan enjin pasukan sepanjang permainan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi akui baki empat perlawanan mendatang pastinya lebih mencabar dan barisan pemain tidak boleh mendabik dada.

“Ia permulaan yang baik (kemenangan ke atas Vietnam), tapi belum berakir lagi. Kita masih ada empat lagi perlawanan yang menunggu.

“Kita perlu perkemaskan lagi permainan dan cuba meraih kemenangan. Nampak seperti kami sudah berpuas hati, tapi sebenarnya kita masih belum puas,” kata tonggak warisan berdarah Belanda-Malaysia itu.

Sumbangan Hevel dalam perlawanan itu cukup besar di mana dia menjadi penghujung antara pertahanan dan serangan negara.

Ketenangan memimpin bahagian tengah pasukan menyaksikan Vietnam sukar untuk menyusun gerakan yang mudah disekat olehnya serta seorang lagi tonggak tengah, Nooa Laine.

Hevel yang bakal meninggalkan kelab Portugal, Portimonense SC dan akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) turut memainkan peranan besar dalam aksi pertama menentang Nepal Mac lalu.

Dalam aksi sulungnya bersama Harimau Malaya Mac lalu itu, dia cemerlang membantu Malaysia menang 2-0 ke atas Nepal di mana Hevel turut meledak satu gol dalam perlawanan itu.

Mengulas mengenai Vietnam, Hevel akui skuad kendalian Peter Cklamovski beraksi baik dan wajar meraih kemenangan ini.

“Mereka (Vietnam) pasukan yang baik di mana kami sudah menganalisis permainan mereka dan kita sedar bukan mudah untuk tewaskan mereka. Namun kita cuba dan akhirnya ia buahkan hasil, mereka memang pasukan yang baik tapi kami menang.

“Biasanya sebelum perlawanan kita tak tahu berapa jumlah jaringan yang akan diraih, namun kami tahu yang kami ada kualiti di jentera depan, dan kita manfaatkan dengan sebaiknya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top