Tidak semua orang mampu mengadakan majlis perkahwinan besar, apatah lagi bagi anggota polis yang sering berdepan dengan komitmen kerja dan kekangan bajet.
Menyedari situasi itu, penyanyi dan usahawan berjaya Mila Jirin tampil dengan niat murni untuk membantu pasangan dalam pasukan polis meraikan hari bahagia mereka tanpa terbeban dengan tekanan kewangan.
Mila, atau nama sebenarnya Norsyarmila Jirin, 38, berkata ramai pasangan muda dalam kalangan anggota polis terpaksa menangguhkan perkahwinan kerana bajet yang terhad.

Melihat perkara itu, Mila memperkenalkan pakej perkahwinan mampu milik Bizmilla menerusi skim pembiayaan khas bersama Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).
“Ramai yang saya dengar terpaksa tangguh perkahwinan sebab kekangan bajet. Jadi saya mahu Bizmilla jadi sebahagian daripada penyelesaian itu supaya mereka tetap boleh capai majlis impian tanpa stres kewangan.

“Ini bukan strategi komersial semata-mata, tetapi misi sosial untuk membantu mereka yang banyak berkorban demi keselamatan negara.
“Kami mahu mereka menikmati majlis bertaraf hotel 5 bintang dalam bajet yang mampu milik. Pakej ini direka khas untuk meringankan beban pasangan muda agar mereka boleh fokus pada makna sebenar perkahwinan, bukan stres tentang kos,” katanya.

Kolaborasi antara Bizmilla Wedding Centre dan KPDRM dilancarkan pada 2 Oktober lalu di Bizmilla Grand Palace Ballroom, Subang Jaya.
Melalui kerjasama ini, anggota koperasi boleh menikmati pakej perkahwinan lengkap Bizmilla yang merangkumi dewan, katering, dekorasi, busana pengantin, pelamin, fotografi dan videografi dengan bayaran serendah RM163.20 sebulan melalui potongan gaji koperasi.
Menurut Mila, pemilihan KPDRM sebagai rakan strategik dibuat kerana nilai kepercayaan dan integriti yang menjadi asas koperasi itu seiring dengan prinsip Bizmilla sendiri yang telah beroperasi lebih 10 tahun dalam industri perkahwinan.
“Bizmilla dibina atas kepercayaan pelanggan selama lebih 10 tahun. Jadi apabila bergabung dengan koperasi yang dinaungi ribuan anggota polis, kami tahu kolaborasi ini bukan sekadar urusan perniagaan, tapi tanda penghargaan.
“Proses membina sistem pembiayaan itu juga melalui penelitian rapi bagi memastikan setiap transaksi dibuat secara telus, profesional dan patuh syariah.
“Kami mahu Bizmilla dikenali bukan hanya sebagai penyedia dewan dan katering, tetapi jenama yang memahami realiti rakyat. Bila kita bantu orang capai bahagia, rezeki dan keberkatan akan datang dengan sendiri,” katanya.






